MAJLIS GRADUASI FELLOWSHIP IN ADOLESCENT HEALTH IN PRIMARY CARE DAN FELLOWSHIP IN COMMUNITY STROKE CARE JABATAN PERUBATAN KELUARGA FAKULTI PERUBATAN UKM
Tarikh : 30 Mei 2025
Masa : 9.00 pagi – 11.00 pagi
Tempat : Bilik Tutorial , Klinik Primer HCTM
Majlis Graduasi bagi Program Fellowship in Adolescent Health in Primary Care dan Fellowship in Community Stroke Care anjuran Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan UKM telah berlangsung dengan penuh gemilang pada 30 Mei 2025, bertempat di Bilik Tutorial, Klinik Primer HCTM.
Majlis ini bertujuan untuk:
- Menyampaikan sijil tamat program kepada para peserta yang telah berjaya menamatkan latihan klinikal dalam kedua-dua program fellowship.
- Meraikan kejayaan dan dedikasi para Pakar Perubatan Keluarga.
- Menjadi platform promosi dan pengenalan program-program fellowship yang ditawarkan oleh jabatan kepada peserta dari dalam dan luar negara.
Acara dimulai dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Nizan Razali, diikuti dengan ucapan kata alu-aluan oleh Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad, selaku Pengarah Sambutan Majlis Graduasi dan Penyelaras Program Fellowship in Adolescent Health. Seterusnya, ucapan diberikan oleh Penyelaras Program Fellowship in Community Stroke Care, Prof Dr Noorazah Binti Abdul Aziz, serta wakil felo graduan, Dr Irham Nordeena binti Muhammad, yang berkongsi pengalaman dan penghargaan sepanjang mengikuti program fellowship di Jabatan Perubatan Keluarga, UKM .
Ucapan perasmian disampaikan oleh Prof Datin Dr Norlinah binti Mohamed Ibrahim, yang turut merasmikan majlis ini secara rasmi dengan kata-kata penuh inspirasi, memberi motivasi kepada para graduan untuk terus maju dalam profesion perubatan keluarga.
Majlis diteruskan dengan tayangan multimedia yang merakamkan detik-detik perjalanan para felo sepanjang program, sebelum beralih ke acara kemuncak iaitu sesi penyampaian sijil. Sijil-sijil disampaikan oleh Prof Datin Dr Norlinah, diiringi oleh penyelaras program masing-masing, kepada tiga orang graduan yang diraikan:
- Dr Irham Nordeena binti Muhammad
- Dr Siti Umi Fairuz binti Azmi
- Dr Wan Nur Sabrina binti Wan Manshol
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengerusi Majlis, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran serta ucapan tahniah kepada para graduan atas pencapaian mereka. Sesi fotografi kenangan dan jamuan makan ringan turut disediakan untuk para tetamu.
Secara keseluruhannya, majlis ini berjalan lancar dalam suasana penuh mesra, profesional dan bermakna, mencerminkan komitmen Jabatan Perubatan Keluarga dalam memperkasa kepakaran perubatan keluarga melalui program fellowship yang berkualiti dan berimpak tinggi.









