Ceramah Kesihatan Kesedaran Penyakit Darah Tinggi dan Kolesterol” Anjuran HEJIM UKM-MSD
Pada 19 Julai 2017, satu penyampaian ceramah kesihatan berkaitan darah tinggi dan kolesterol telah berlangsung di lobi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (PPUKM) pada jam 10.00 hingga 11.00 pagi.
Dua orang pegawai perubatan dari Klinik Primer PPUKM telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tersebut. Dr. Wan Nur Sabrina Wan Manshol telah menyampaikan tajuk berkenaan darah tinggi manakala Dr. Sharifah Najwa pula telah menyampaikan topik berkenaan kolestrol. Ceramah ini adalah anjuran bersama oleh MSD dan HEJIM PPUKM.
Seramai lebih kurang 20 peserta telah hadir, di mana kebanyakan mereka terdiri daripada staf hospital seperti para jururawat, pembantu perawatan kesihatan, dan juga staf sokongan. Hanya seorang pesakit yang hadir ke ceramah tersebut. Ini mungkin kerana masih ramai pesakit yang menghadiri temujanji di klinik-klinik pesakit luar.
Secara amnya, pengetahuan asas para peserta berkenaan cara mengelak dan menangani darah tinggi dan kolesterol adalah kurang memadai. Rata-rata mereka berpendapat bahawa aktiviti harian seperti menaiki tangga, berjalan dari tempat letak kereta ke tempat kerja, melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah dan seumpamanya adalah dikategorikan sebagai bersenam. Cuma segelintir peserta telah mengambil inisiatif untuk bersenam, menjaga pemakanan dan juga cakna mengenai kesihatan diri sendiri. Namun begitu, kebanyakan mereka mengetahui bahawa darah tinggi dan kolesterol tidak mempunyai tanda-tanda pengesanan awal dan mengetahui pemakanan apa yang sesuai untuk menurunkan tekanan darah dan juga kolesterol.
Lanjutan daripada ceramah kesihatan tersebut, dapat dilihat bahawa maklumat berkenaan darah tinggi dan kolesterol masih perlu disampaikan dengan meluas supaya rakyat Malaysia sedar dan mengambil serius akan bahaya kedua-dua penyakit ini. Ini adalah penting kerana darah tinggi dan kolesterol merupakan penyakit yang membunuh dengan senyap dan tiada petanda atau gejala awal. Semoga dengan lebih banyak ceramah kesedaran kesihatan sedemikian dapat membuka minda rakyat Malaysia untuk memastikan keadaan dan taraf kesihatan mereka berada di tahap yang optimum dan mendapat rawatan yang lebih awal sekiranya perlu.




