Bengkel Impak Maksima : Profesional, Integriti, Mesra Digital Memacu Sinergi, Memperkasa Kompetensi, Mendepani Transformasi
Tanjong Karang, Selangor | 4 – 6 September 2026
Bengkel Impak Maksima berteraskan slogan “Profesional, Integriti, Mesra Digital” telah berlangsung selama tiga (3) hari dua (2) malam di Pusat Latihan & Kemudahan PPP UKM, Tanjong Karang Selangor dengan penyertaan 40 orang kakitangan JKP. Program di bawah seliaan Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua JKP dan diketuai oleh Encik Irham Abdullah, dengan sokongan Encik Abd Hamid Ismail serta barisan jawatankuasa menjadi platform strategik untuk memperkukuh kompetensi, ketahanan diri dan kesepaduan warga JKP dalam mendepani cabaran perkhidmatan pelanggan yang dinamik.
Pelbagai aktiviti pembangunan diri dan kerja berpasukan dilaksanakan bagi mempertingkat ketahanan mental dan fizikal, kepimpinan, komunikasi berkesan, pemikiran kritis serta kemahiran penyelesaian masalah. Penglibatan berpengalaman dari Akademi Wilayah Intan Utara (INTURA) menerusi tenaga pengajar Encik Ahmad Lutfi Omar dan Encik Anuar Saad turut mengendalikan pengisian berfokuskan pengukuhan sinergi pasukan meliputi aspek komunikasi, kepercayaan, kolaborasi dan penyelesaian masalah secara kolektif.
Pengisian yang berasaskan pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan, kesepaduan dan saling menghormati. Malah ianya mampu membentuk warga kerja yang lebih kompeten, tangkas, responsif dan berdaya tahan. Ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh diharapkan dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian sebagai pemangkin kepada transformasi budaya kerja serta peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan JKP.
JKP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa, fasilitator dan peserta atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Semoga momentum kecemerlangan yang tercipta terus diperkasa dalam merealisasikan aspirasi JKP untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang profesional, berintegriti, responsif dan mesra digital.

