Hari Pendengaran Sedunia 2024
Hari Pendengaran Sedunia 2024 di peringkat UKM disambut dengan meriah di Masjid Azzubair Ibn Awwam, Cheras, Kuala Lumpur. Program itu dianjurkan oleh Jabatan Otorinolaringologi pada 3 Mac 2024, semalam.
Bertemakan ‘Mengubah Sikap: Ayuh jadikan penjagaan telinga dan pendengaran realiti untuk semua’, program itu memperlihatkan komitmen UKM untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan dalam menjaga kesihatan pendengaran.
Program ini dirasmikan oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor. Dalam ucapannya beliau menyatakan kepentingan kesedaran yang ditingkatkan dan penekanan pada pendidikan tahap awal.
“Kesedaran boleh mendorong lebih ramai individu untuk mendapat rawatan dan penjagaan yang diperlukan. Ini bukan hanya berkaitan dengan penyakit atau kecacatan pendengaran, tetapi juga tentang penjagaan pendengaran,” katanya.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program seperti ujian pendengaran secara percuma. Selain itu, pelbagai gerai informasi dan contoh rehabilitasi alat bantuan pendengaran juga dipamerkan. Peserta boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kesihatan pendengaran, teknologi bantuan pendengaran, dan cara-cara menjaga pendengaran anda. Para pakar audiologi juga akan bersedia untuk memberikan panduan dan jawapan kepada sebarang pertanyaan yang anda miliki.
Turut hadir adalah Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Prof. Dr. Asma Abdullah, Prof. Madya Dr. Mawaddah Azman, Dr. Fahrin Zara Mohammad Nasseri. Manakala pengurusan masjid yang terlibat adalah Encik Jasni Abdul Jalil,Encik Mohd Hanapiah Hj Md Amin dan Encik Moslim Aziz Naqib dan para penduduk Bandar Tun Razak dan sekitarnya.








