APAKAH ITU UJIAN SARINGAN PENDENGARAN BAYI ?

22 Nov 2017

 

Ujian saringan pendengaran merupakan ujian asas yang dilakukan ke atas bayi untuk mengesan masalah pendengaran yang disyaki oleh bayi. Program ujian saringan pendengaran bayi  telah dilaksanakan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bermula Mac 2003 sehingga kini. Jenis saringan pendengaran bayi terbahagi kepada dua bahagian iaitu saringan pendengaran bayi universal dan saringan pendengaran bayi berisiko tinggi.

Ujian saringan pendengaran bayi universal ialah semua bayi yang dilahirkan di sesebuah hospital perlu menjalani ujian saringan pendengaran atau lebih dikenali sebagai universal newborn hearing screening (UNHS). Ujian saringan pendengaran bayi berisiko tinggi dilakukan untuk mengesan masalah- masalah pekak dalam kalangan bayi yang berisiko dan ianya dikenali sebagai high risk hearing screening.

Masalah pendengaran dibahagikan kepada masalah konduktif,sensorineural dan bercampur. Masalah pendengaran konduktif ialah apabila terdapat halangan pada bunyi untuk sampai ke bahagian ‘oval window’ seperti gegendang telinga pecah berpunca disebabkan oleh jangkitan kuman pada bahagian telinga tengah (radang pada bahagian telinga luar dan telinga tengah). Masalah pendengaran sensorineural adalah disebabkan patologi kepada sel-sel auditori di dalam koklear (95%) ataupun disebabkan patologi pada saraf koklear(5%). Masalah ini berlaku sejak lahir (kongenital) dan puncanya tidak diketahui (idiopathic hearing loss). Selain itu, punca masalah sensorineural ini juga disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria setelah lahir (acquired type of sensorineural hearing loss) seperti labirintitis atau keradangan pada labirin. Punca lain mungkin disebabkan oleh masalah kelahiran pramatang, jaundis, jangkitan virus seperti Toxoplasmosis, Rubella, Cytomegalovirus dan Herpes virus semasa bayi dalam kandungan ibu. Masalah pekak juga boleh disebabkan oleh masalah meningitis iaitu keradangan pada selaput meninges akibat daripada jangkitan bakteria atau virus.

Rajah 1: Jangkitan bahagian telinga tengah (otitis media)

            

 

 

    Rajah 2 : Jangkitan bahagian telinga luar (otitis externa )

Kepentingan ujian ini adalah untuk bayi dan kanak –kanak kecil mempelajari bahasa dan pertuturan pada kadar yang begitu cepat. Pembelajaran bahasa,pertuturan dan cara komunikasi  sangat bergantung kepada kebolehan seseorang bayi untuk mendengar bahasa dan pertuturan pada awal usianya. Jika bayi mempunyai masalah pendengaran, kebolehannya untuk mendengar bunyi-bunyi pertuturan disekitarnya akan berkurangan atau mungkin tiada langsung. Hal ini boleh menyebabkan kelambatan dalam perkembangan bahasa dan pertuturan mereka.

Lebih daripada 50 000 bayi yang mengesan masalah pendengaran  melalui ujian OAE sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah. Ujian yang dilakukan ialah pancaran otoakustik (OAE). Bayi yang tidak berisiko dan gagal ujian saringan pendengaran bayi OAE pada peringkat pertama akan diberikan temujanji untuk ujian Automated Auditory Brainstem Response (AABR) pada usia bayi 6 hingga 8 minggu.

Ujian AABR ini adalah untuk menguji fungsi organ dan saraf pendengaran bayi. Jika keputusan ujian AABR gagal, bayi tersebut akan menjalani ujian diagnostik menggunakan ABR. Bayi diberikan ubat Chloral Hydrate (ubat pelali) supaya bayi tidur semasa ujian dijalankan. Bayi yang berisiko pula akan menjalani ujian susulan 6 hingga 8 minggu untuk ujian ABR yang dilakukan oleh audiologis. Keputusan ujian OAE dan AABR adalah dalam bentuk lulus atau gagal. Lulus bermaksud organ pendengaran bayi tersebut tidak mengalami masalah pendengaran. Gagal bermaksud organ pendengaran bayi mungkin tidak normal dan disyaki mengalami masalah pendengaran.

 

Rajah 3 : Ujian OAE dijalankan pada bayi.

 Rajah 4 : Ujian AABR  dijalankan.  

Pada tahun 2016, bilangan bayi yang menjalani ujian UNHS pada peringkat awal seramai 5563 daripada 5709 di PPUKM. Manakala seramai 146 bayi tidak menjalani ujian tersebut. Pada peringkat pertama, bilangan bayi yang lulus dalam ujian tersebut adalah seramai 5245 bayi manakala bilangan bayi yang mendapat keputusan gagal adalah 380. Bayi yang mendapat keputusan gagal pada peringkat pertama akan menjalankan ujian saringan pendengaran  menggunakan AABR pada peringkat kedua. Keputusan tersebut adalah seramai 175 bayi yang lulus manakala seramai 12 bayi yang mendapat keputusan gagal. Sekiranya bayi gagal dalam ujian diagnostik, ABR akan dilakukan pada hari yang sama.

 

Rajah 5 : Bilangan bayi yang menjalankan dan tidak menjalankan ujian saringan pendengaran bayi universal pada peringkat pertama

Rajah 6 : Jumlah keseluruhan bayi yang mendapat keputusan lulus dan gagal pada peringkat pertama ujian.

Rajah 7 : Jumlah keseluruhan bayi yang mendapat keputusan lulus dan gagal pada peringkat kedua ujian.

Pada tahun 2000, Joint Committee in Infant Hearing (JCIH) mencadangkan beberapa penunjuk kualiti dari segi kadar keseluruhan ujian saringan pendengaran bayi universal dilakukan sekurang-kurangnya 95% dalam tempoh 6 bulan dari permulaan program, kadar rujukan tidak melebihi 4% dan mencapai pulangan bagi kadar tindak lanjut sekurang-kurangnya 70%. Kadar rujukan tidak mencapai saranan JCIH iaitu 6.75% (380/5627). Pada peringkat kedua pula, kadar rujukan ialah 6.42%. Pulangan bagi kadar tindak lanjut bagi program ini adalah 50.59%.

Search

+