Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.2/2026: Perkukuh Kebersamaan, Raikan Kecemerlangan Warga

12 Nov 2026 2026, News, News 2026

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menganjurkan Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil. 2/2026 bertempat di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar. Acara pembukaan dimeriahkan dengan persembahan Tarian Endang oleh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan. Perhimpunan ini menjadi wadah utama pihak pengurusan menyampaikan amanat serta berkongsi perkembangan semasa hospital kepada seluruh warga kerja.

Dalam ucapannya, Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin, menzahirkan penghargaan atas dedikasi warga kerja yang memacu pelbagai pencapaian hospital sepanjang tahun 2026, merangkumi aspek inovasi perubatan, kelestarian, kejayaan serta naik taraf kemudahan dan sistem digital demi keselesaan pesakit. Mengakhiri amanat tersebut, seluruh warga kerja turut diseru agar terus mengamalkan pengurusan sumber secara berhemah tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, khususnya menjelang sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun HCTM pada Julai 2027.

“Kita mungkin tidak mampu mengubah segala-galanya dalam sehari, tetapi setiap hari kita mempunyai peluang untuk menjadikan HCTM lebih baik daripada semalam. Bekerjalah dengan hati, berkhidmatlah dengan jiwa dan tinggalkanlah legasi yang bermakna. Kerana akhirnya, kejayaan HCTM bukan kejayaan seorang Pengarah, bukan kejayaan sesebuah jabatan, tetapi kejayaan kita semua,” tegas beliau.

Selesai sesi ucapan tersebut, majlis diteruskan dengan sesi pelantikan dan penyerahan sijil kepada barisan juruacara rasmi HCTM sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam mengendalikan acara rasmi hospital. Kemuncak majlis turut diserikan dengan pelancaran video korporat rasmi HCTM yang memaparkan identiti, kecemerlangan perkhidmatan serta hala tuju hospital pengajar.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19g71ARAXT/

Search

+