Majlis Menandatangani Persetujuan Bersama Jadual Pelupusan Rekod Perubatan antara HCTM dan Arkib Negara Malaysia

12 Mar 2026 2026, News 2026
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Maklumat Kesihatan telah mengadakan Majlis Menandatangani Persetujuan Bersama Jadual Pelupusan Rekod Perubatan antara HCTM dan Arkib Negara Malaysia di Sukmaria, Blok Klinikal HCTM pada 12 Mac 2026.
Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, majlis berkenaan merupakan detik penting apabila HCTM secara rasminya memiliki Jadual Pelupusan Rekod Perubatan yang diperakukan oleh Arkib Negara Malaysia. Menurut beliau, pengiktirafan tersebut sekali gus memperkukuh tadbir urus pengurusan rekod di institusi berkenaan.
“Rekod perubatan merupakan dokumen penting yang merekodkan sejarah rawatan pesakit dan menjadi sumber rujukan utama bagi memastikan kesinambungan rawatan.
“Selain itu, rekod ini juga penting bagi memenuhi keperluan perundangan, menyokong aktiviti penyelidikan serta pelaporan statistik kesihatan,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan kitar hayat rekod perubatan, bermula daripada pewujudan sehingga pelupusan, perlu dilaksanakan secara terancang dan mematuhi akta, polisi, peraturan serta prosedur yang berkuat kuasa.
Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan serta kerahsiaan maklumat pesakit sentiasa terpelihara selaras dengan keperluan pihak berkepentingan. Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor, para pengarah bahagian Arkib Negara Malaysia; timbalan-timbalan pengarah HCTM; Ketua Jabatan Maklumat Kesihatan HCTM, Puan Hanuzah Omar, serta pegawai kanan daripada HCTM dan Arkib Negara Malaysia.

 


Search

+