PROGRAM KOMUNITI SIHAT HIDUP SEJAHTERA 4.0: MISSION POSSIBLE SHAPE UP!
Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), telah menganjurkan Program Komuniti Sihat Hidup Sejahtera 4.0: Mission Possible Shape Up! yang dilaksanakan dalam tiga siri, iaitu pada 16 Jun 2026, 11 Ogos 2026 dan 20 Oktober 2026. Program ini telah berlangsung di Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, DBKL, Cheras, Kuala Lumpur. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Diagnostik, Farmasi dan Sokongan Klinikal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Profesor Madia Datin Dr. Nur Shahizon Azura Muhamed Mukari.
Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya dalam aspek pengurusan berat badan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit. Kumpulan sasaran program ini terdiri daripada golongan rentan dalam kategori B40 dan M40, khususnya individu yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 23 kg/m². Menariknya, setiap peserta diberi peluang untuk menyertai ketiga-tiga siri program bagi membolehkan pemantauan perkembangan kesihatan serta perubahan berat badan dilakukan secara berterusan. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta, malah membantu mereka membina motivasi dan komitmen untuk mencapai berat badan yang lebih sihat.
Pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat telah disediakan sepanjang program berlangsung. Antaranya ialah ceramah kesihatan berkaitan pengurusan berat badan berlebihan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Pegawai Dietetik dan Pegawai Psikologi Klinikal. Ceramah ini merangkumi aspek kesihatan fizikal, pemakanan seimbang serta kepentingan kesihatan mental dan pengurusan emosi dalam usaha menurunkan berat badan. Hal ini penting kerana kejayaan dalam pengurusan berat badan bukan sahaja bergantung kepada kawalan pemakanan, malah turut melibatkan perubahan tingkah laku, motivasi dan kesediaan individu untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai sesi senaman sihat yang dikendalikan oleh Pegawai Fisioterapi. Aktiviti ini bertujuan menggalakkan peserta untuk lebih aktif secara fizikal serta memberi pendedahan kepada jenis senaman yang bersesuaian dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Pendekatan secara praktikal ini diharapkan dapat membantu peserta menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.
Bagi memastikan tahap kesihatan peserta dapat dinilai dengan lebih menyeluruh, program ini turut menyediakan saringan kesihatan yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah dan paras glukosa dalam darah. Pengukuran antropometri serta analisis komposisi tubuh, termasuk peratus lemak badan, turut dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai status kesihatan setiap peserta. Hasil penilaian ini dapat membantu mengenal pasti risiko kesihatan yang berpotensi serta meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan pemantauan kesihatan secara berkala.
Keistimewaan program ini turut terserlah melalui pelaksanaan sesi Diet Chit Chat bersama Pegawai Dietetik. Sesi ini menyediakan ruang interaksi dua hala yang lebih santai dan terbuka kepada peserta untuk mendapatkan konsultasi serta berkongsi permasalahan berkaitan pemakanan. Peserta juga berpeluang mengemukakan pertanyaan secara lebih mendalam mengenai pemilihan makanan, kawalan saiz hidangan, pengiraan kalori dan strategi pemakanan yang sesuai dengan keperluan individu. Melalui sesi ini, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan secara teori, malah dapat mengaplikasikan panduan pemakanan yang bersesuaian dalam kehidupan seharian.
Pada penghujung pelaksanaan program, satu sesi pembentangan hasil program telah diadakan oleh Ketua Program En Abd Rahman Bin Abd Kadir,
bagi berkongsi pencapaian dan perkembangan peserta sepanjang ketiga-tiga siri berlangsung. Pembentangan ini merangkumi analisis peratus penurunan berat badan setiap peserta berdasarkan pemantauan yang telah dilaksanakan. Sesi ini menjadi platform untuk menilai keberkesanan program di samping memberi gambaran tentang usaha dan komitmen peserta dalam mencapai matlamat kesihatan masing-masing. Sebagai penghargaan terhadap kesungguhan dan pencapaian peserta, pengumuman pemenang turut diadakan bagi mengiktiraf peserta yang berjaya mencatatkan penurunan berat badan tertinggi. Pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin motivasi kepada peserta untuk terus mengekalkan amalan gaya hidup sihat walaupun program telah berakhir.
Secara keseluruhannya, Program Komuniti Sihat Hidup Sejahtera 4.0: Mission Possible Shape Up! telah memberikan impak positif kepada komuniti melalui pendekatan pendidikan kesihatan, saringan kesihatan, bimbingan pemakanan dan aktiviti fizikal yang dilaksanakan secara bersepadu. Kerjasama antara HCTM dan DBKL ini membuktikan bahawa usaha meningkatkan taraf kesihatan masyarakat memerlukan penglibatan pelbagai pihak serta pendekatan yang menyeluruh dan berterusan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai golongan masyarakat, khususnya dalam membantu individu menguruskan berat badan secara sihat, selamat dan berkesan. Inisiatif ini juga diharap dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat, aktif dan berkualiti, seterusnya menyokong aspirasi negara ke arah merealisasikan Malaysia yang lebih sihat.







