Berikut merupakan langkah-langkah pencegahan yang telah atau boleh dilaksanakan oleh UKKP dan semua pihak yang terlibat untuk mengawal bilangan kes kecederaan tajam dan mengurus kes-kes selepas ia terjadi. Ia terbahagi kepada langkah pencegahan primer, yakni langkah pencegahan yang dijalankan sebelum kecederaan terjadi; langkah pencegahan sekunder, iaitu untuk mencegah timbulnya penyakit atau perkembangan penyakit melalui pengesanan dan rawatan awal apabila kecederaan telah terjadi; dan langkah pencegahan tertiari, yakni setelah mangsa mengalami kecederaan dan mendapat jangkitan penyakit bawaan darah, langkah ini diambil untuk mengurus penyakit yang telah didiagnosis untuk mencegah komplikasi lanjut, meminimumkan simptom, dan memulihkan fungsi sebanyak mungkin, serta memberi fokus kepada peningkatan kualiti hidup. Pada asasnya, ia memberi tumpuan kepada meminimumkan ketidakupayaan yang disebabkan oleh penyakit tersebut (pengurangan kesan penyakit pada kehidupan mangsa).
1. Langkah Pencegahan Primer:
• Memberi ceramah tentang kecederaan tajam dan kesannya kepada Pegawai Perubatan Siswazah semasa Minggu Orientasi
• Memberi latihan praktikal pengambilan darah, dengan kerjasama JPMD & syarikat pembekal jarum
• Pembangunan SOP pengambilan darah, pemasangan kanula iv dan pemberian suntikan IM
• Kakitangan UKKP menjadi ahli dalam jawatankuasa spek jarum
• Kakitangan kejururawatan membantu memantau prosedur pengambilan darah dan pemasangan kanula iv di wad-wad dan kawasan klinikal lain
• Lawatan/audit tempat kerja (kawasan klinikal)
• Vaksinasi Hepatitis B untuk kakitangan di tempat kerja berisiko tinggi
• Pra-penempatan di kalangan kakitangan klinikal baharu
2. Langkah Pencegahan Sekunder:
• Mengurus mangsa sebaik sahaja kemalangan itu berlaku (dalam tempoh 24 jam sebaik-baiknya)
• Merujuk kes yang berisiko tinggi untuk penyakit bawaan darah (blood borne infections, BBI) kepada pakar yang berkaitan untuk mendapatkan post-exposure prophylaxis (PEP) dalam tempoh waktu yang disarankan
• Merujuk kes yang berisiko tinggi untuk BBI kepada pakar perubatan penyakit berjangkit dan/atau gastroenterologi
3. Langkah Pencegahan Tertiari:
• Menghadiri rawatan susulan dengan pakar perubatan penyakit berjangkit dan/atau gastroenterologi
• Merujuk kakitangan yang telah didiagnos dengan BBI kepada Majlis Perubatan Malaysia atau Lembaga Kejururawatan Malaysia untuk nasihat seterusnya
• Temujanji bersama UKKP (sulit) untuk mengendalikan kakitangan BBI ini
• Khidmat nasihat daripada Jabatan Sumber Manusia
• Bincang bersama Ketua Jabatan masing-masing berkaitan prosedur yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh mangsa (rujuk Guideline on Blood Borne Viral Infections, Malaysian Medical Council, 20 October 2020)