KLINIK KESIHATAN PEKERJAAN

Klinik Kesihatan Pekerjaan HCTM telah bermula pada 1 November 2023. Lokasi klinik adalah bertempat di pejabat Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (UKKP).

PERKHIDMATAN KLINIK KESIHATAN PEKERJAAN

Perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Pengawasan Perubatan (Medical Surveillance)

Pengawasan Perubatan adalah satu program menyeluruh untuk memeriksa dan menyiasat tahap pendedahan dan kesan awal biologi, termasuk pemantauan biologi dan pemantauan kesan biologi, yang berkaitan dengan keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan. Ia termasuk program pra-pekerjaan dan pra-penempatan, pemantauan biologi dan pemantauan kesan biologi, pemantauan kesan kesihatan, pemeriksaan tempat kerja, notifikasi penyakit pekerjaan dan keracunan, membantu dalam penilaian kecacatan, medical removal, return to work dan penyimpanan rekod.

Kes pengawasan perubatan ini boleh didapati dari lawatan HIRARC, Chemical Health Risk Assessment, audit dari pihak penguatkuasa seperti DOSH, pengawasan sinaran, pekerja yang mambancuh ubat sitotoksik, penilaian bunyi bising, dan tinjauan (survey) ergonomik.

Pengurusan Kes-Kes Penyakit Pekerjaan

Kes-kes penyakit pekerjaan ini akan dilihat melalui rujukan dari Klinik-Klinik Pakar di HCTM atau dari Klinik Warga. Ia juga boleh dirujuk oleh jabatan kakitangan selepas cadangan dari lawatan Identifikasi Hazad, Penilaian Risiko dan Pengawalan Risiki (HIRARC) atau lawatan dari agensi lain yang berkenaan seperti Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Aktiviti Pra-Pekerjaan

Ini adalah pemeriksaan kesihatan untuk kakitangan/pekerja yang akan memulakan pekerjaan, untuk menilai sama ada mereka sesuai untuk bekerja (fit to work)

Aktiviti Pra-Penempatan

Pemeriksaan perubatan pra-penempatan dilakukan untuk pekerja klinikal yang baru atau yang dipindahkan ke pekerjaan klinikal lain dengan keperluan khas untuk:

  • Menyediakan penilaian status kesihatan pekerja untuk memastikan pekerja sihat dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan kerja dan/atau untuk memakai Alat Pelindung Diri yang disediakan
  • Mewujudkan rekod asas keadaan fizikal yang kelak penting untuk menentukan sama ada masalah kesihatan telah wujud sebelum bekerja atau mungkin disebabkan oleh tempat kerja
  • Mengesan kecacatan fizikal atau penyakit yang mungkin boleh dirawat di peringkat awal

Pengurusan Kes-Kes Kecederaan Tajam

Semua mangsa kecederaan tajam perlu hadir ke Klinik Kesihatan Pekerjaan secepat mungkin agar penilaian risiko penyakit bawaan darah dapat dijalankan segera. Mangsa akan diminta untuk mengisi borang atas talian kecederaan tajam dan pergi ke Bahagian Pengambilan Darah untuk pengambilan darah dan ke Jabatan Kecemasan untuk mendapatkan suntikan Tetanus.

Mangsa juga akan dirujuk kepada Pakar Penyakit Berjangkit atau Pakar Gastroenterologi jika perlu dan mereka akan diberikan Post-Exposure Propylaxis (PEP) jika perlu dalam tempoh 72 jam selepas kejadian.

Pemberian Vaksin

Vaksin yang akan diberikan di Klinik Kesihatan Pekerjaan adalah:

  • Influenza; kepada kakitangan HCTM yang terdedah kepada jangkitan dan/atau yang berisiko, dan kepada mereka yang akan menunaikan umrah atau haji
  • Meningococcal; kepada kakitangan HCTM yang akan menunaikan umrah atau haji
  • Pneumococcal; kepada kakitangan HCTM yang akan menunaikan umrah atau haji
  • Hepatitis B; kepada kakitangan HCTM baharu semasa aktiviti pra-pekerjaan atau pra-penempatan jika perlu, dan kepada mangsa kecederaan tajam jika perlu

Penyingkiran Perubatan (Medical Removal)

Sebarang kes keracunan atau penyakit pekerjaan yang pasti atau disyaki mesti disingkirkan dari tempat kerja. Kakitangan ini tidak boleh kembali bekerja sehingga tanda dan gejala, keputusan sitologi dan biokimia yang tidak normal telah pulih kepada sediakala, dan kakitangan disahkan sihat untuk kembali bekerja oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan.

Program Kembali Bekerja (Return to Work)

Selepas kakitangan pulih dari penyakit yang serius atau kecederaan pekerja mungkin mengalami hilang upaya untuk melakukan aktiviti asas kehidupan seharian, pemeriksaan perubatan pekerjaan perlu dilakukan sebelum kembali bekerja. Pemeriksaan perubatan ini adalah untuk membantu pekerja itu kembali bekerja dan dapat bekerja dengan efektif selepas pulih dari penyakit atau kecederaan. Perkhidmatan ini juga boleh diberikan kepada pekerja yang mempunyai masalah kebergantungan kepada alkohol dan/atau dadah.

KAKITANGAN KLINIK OH

  • 3 orang Pegawai Perubatan / Doktor Kesihatan Pekerjaan (Occupational Health Doctor, OHD)
  • 2 orang Jururawat Terlatih, seorang merupakan Jururawat Kesihatan Pekerjaan (Occupational Health Nurse, OHN) manakala seorang lagi adalah Occupational Safety & Health Coordinator.
  • Seorang Pembantu Tadbir

Tarikh kemaskini: 10 Mei 2024