COVID-19 DAN PENGLIBATAN UKKP

Penyakit Coronavirus (COVID-19) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Sebilangan besar pesakit yang dijangkiti COVID-19 akan mengalami gejala ringan hingga sederhana dan sembuh tanpa rawatan khas. Namun, ada segelintir yang memerlukan rawatan perubatan lanjut di hospital, termasuk yang memerlukan rawatan bantuan pernafasan. Berikut merupakan tahap gejala klinikal COVID-19 mengikut Annex 2e KKM:

Tahap Klinikal

1            Tiada gejala

2            Bergejala tetapi tiada pneumonia

3            Bergejala dan pneumonia

4            Bergejala, pneumonia, dan memerlukan bantuan oksigen

5            Sakit kritikal beserta kegagalan pelbagai organ dalam badan

Anda perlu mematuhi segala SOP berkaitan COVID-19 yang telah ditetapkan. SOP ini boleh didapati dalam bentuk infografik di laman sesawang UKKP ini.

Kakitangan HCTM sangat digalakkan untuk mengambil vaksin yang lengkap beserta vaksin dos penggalak untuk melindungi diri anda sendiri, keluarga dan pesakit HCTM.


Kakitangan Yang Dijangkiti COVID-19

  1. Doktor anda perlu menotifikasi kes anda ke Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menggunakan Borang Annex 7: Notifikasi Penyakit Berjangkit Yang Perlu Dilaporkan.
  2. Anda perlu memberitahu ketua dan person-in-charge (PIC) di unit/jabatan masing-masing. PIC akan mengesan kontak rapat anda di tempat kerja dan menilai risiko mereka yang terlibat (stratifikasi risiko).
  3. PIC perlu mengisi Borang Maklumat Kakitangan Positif COVID-19 HCTM, untuk memudahkan proses notifikasi kes di kalangan kakitangan HCTM.
  4. Anda perlu mengemaskini aplikasi mySejahtera dan isi survei gejala di rumah anda di aplikasi mySejahtera. Kategori 1 dan 2A, anda hanya perlu kuarantin di rumah, Jika gejala merosot, segara ke COVID Assessment Centre (CAC) atau fasiliti kesihatan terdekat. Bagi Kategori 2B ke dan atas, golongan berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun ke atas, individu mempunyai komorbid, wanita mengandung dan individu yang tidak lengkap atau tidak divaksinasi dikehendaki hadir ke CAC.
  5. Anda boleh merujuk di sini untuk Panduan Untuk Penjagaan Pesakit Positif Covid-19 Di Rumah.
  6. Kes positif COVID-19 diwajibkan untuk kuarantin selama 7 hari dari hari keputusan ujian positif diterima. Walaubagaimanapun, anda boleh menamatkan kuarantin lebih awal sekiranya ujian RTK-Ag yang diselia pengamal perubatan pada hari ke-4 negatif. Ujian RTK-Ag ini boleh dilakukan secara fizikal di fasiliti kesihatan atau secara maya.
  7. Ujian RTK-Ag juga boleh dilakukan pada hari ke-5 dan ke-6 untuk tujuan pelepasan awal daripada kuarantin. Sekiranya keputusan ujian ini masih positif, anda perlu menyambung kuarantin sehingga hari ke-7. Tiada ujian yang perlu dilakukan selepas lengkap kuarantin 7 hari.
  8. Jika kes anda melibatkan jangkitan dari tempat kerja, kami akan melaporkan kes anda ke Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

Kakitangan Yang Menjadi Kontak Rapat:

  1. Anda adalah kontak rapat jika anda telah berhubung secara langsung dengan kes positif COVID-19, sama ada bersemuka lebih daripada 15 minit pada jarak kurang dari 1 meter tanpa memakai pelitup muka atau bersentuhan.
  2. Bagi yang bergejala, anda perlu ke klinik panel untuk mendapatkan Sijil Cuti Sakit dan digalakkan untuk kuarantin dan menjalani ujian pengesanan COVID-19 RTK(Ag) kendiri pada hari gejala bermula dan juga pada hari ketiga. Jika keputusan ujian positif, ikut protocol pengurusan kes positif di atas.
  3. Untuk tujuan pelepasan, ujian pengesanan COVID-19 RTK(Ag) kendiri tidak perlu dilakukan jika gejala bertambah baik.
  4. Kontak rapat yang tidak bergejala, tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin.
  5. Pantau gejala dan tahap kesihatan dalam tempoh 5 hari dari hari terakhir terdedah kepada kes positif COVID-19.

PERKESO/SOCSO

Jika anda dijangkiti COVID-19 disebabkan aktiviti pekerjaan, anda boleh membuat tuntutan faedah Skim Bencana Pekerjaan, jika anda mencarum dengan PERKESO/SOCSO. Maklumat ini boleh didapati di laman ini: https://www.perkeso.gov.my/tuntutan-faedah-berkaitan-covid-19.html

Sila berhubung dengan PERKESO untuk maklumat lanjut.


Kesihatan Mental

Kesihatan kakitangan boleh terjejas dari segi psikologi dan juga fizikal kesan daripada pandemik ini. Ini mungkin terjadi kerana kebimbangan tentang krisis kesihatan yang sedang berlaku, ketakutan terhadap jangkitan, beban kerja yang banyak, kebimbangan kewangan jika pasangan atau ahli keluarga kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan, dan pengasingan sosial akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Ramai yang akan mengalami situasi domestik yang mencabar, seperti menjaga anak atau menjaga saudara yang menjadi kontak rapat, dan ada juga yang mengalami penyakit atau kematian ahli keluarga.

Kebimbangan ini mungkin tiada jalan penyelesaian yang mudah, namun sokongan individu dengan cara kaunseling boleh didapati di HCTM. Jabatan Psikiatri telah menawarkan khidmat ini semasa musim pandemik ini, sila klik butang di bawah untuk maklumat lanjut.

Tarikh Kemaskini 22 Julai 2022