Simposium Surgeri Pertama UKM Menjadi Wadah Memperkasa Kepakaran Surgeri

18 Aug 2025

Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan UKM dengan bangganya telah menganjurkan 1st UKM Surgical Symposium, sebuah inisiatif ilmiah yang julung kalinya diadakan bagi menghimpunkan para pakar bedah, pegawai perubatan, pelatih, serta pelajar perubatan dari seluruh negara. Majlis Perasmian ‘1st UKM Surgical Symposium’ Peringkat Kebangsaan Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan hari ini di Auditorium Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (HTABTAR), Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi UCSI Healthcare Group dan Pengerusi Institut Jantung Negara Sdn. Bhd., Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah.

Simposium ini telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari dan mengetengahkan pelbagai topik terkini dalam bidang surgeri, termasuk kemajuan teknologi pembedahan, amalan klinikal terbaik, dan perkongsian pengalaman dari pakar-pakar ternama dalam pelbagai sub-disiplin surgeri. Penganjuran simposium ini mencerminkan komitmen Jabatan Surgeri UKM dalam memperkukuh jaringan profesional, meningkatkan ilmu pengetahuan, dan memajukan standard pendidikan serta latihan dalam bidang pembedahan. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar dan kakitangan (Team COSMOS) yang bertungkus-lumus menjayakan simposium ini.

Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor; Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid; Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki; Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) mewakili Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan dan Ketua Jabatan Surgeri merangkap Penasihat Program 1st UKM Surgical Symposium 2025, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi.

Search

+