Program Kesedaran Komuniti: Keselamatan Kebakaran dan Demonstrasi CPR


19 April 2026 – Jabatan Perubatan Kecemasan telah menerima jemputan daripada Pengurusan Residensi Akasia Permaisuri bagi menjayakan program bersama masyarakat yang melibatkan sesi kesedaran kebakaran dan demonstrasi Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).
Program ini telah dianjurkan dengan kerjasama beberapa wakil komuniti, antaranya En. Iqmal (Pengerusi Perbadanan Pengurusan Residensi Akasia), En. Hamdan (Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Akasia) dan En. Faizal (Pengerusi Surau Akasia). Turut hadir ialah En. Kuek Po Guan (Pengerusi MPP Parlimen Bandar Tun Razak), En. Nur Fadil (Pengerusi MPP Sub Zon 2), En. Firdaus (Penyelaras DBKL Bandar Tun Razak) serta Ahli Pasukan Pengakap Daerah Bandar Tun Razak bersama penyelarasnya, Cikgu Asmara.
Program bermula seawal jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 2.00 petang dengan penyertaan kira-kira 150 orang peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Antara pengisian program termasuk:
- Taklimat pengurusan panggilan kecemasan di hospital
- Penerangan prosedur serta hak sebagai pemanggil
- Taklimat keselamatan kebakaran
- Ceramah dan demonstrasi CPR
- Demonstrasi pemadaman api
- Latihan CPR bersama penduduk Residensi Akasia
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sistem kecemasan serta memperkukuhkan kefahaman mengenai prosedur Perkhidmatan Pra Hospital HCTM. Di samping itu, ia turut menjadi platform untuk mengeratkan kerjasama antara pihak hospital dan komuniti setempat dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
