Program Sukan Rakyat Galah Panjang bersempena menyambut Hari Kebangsaan 2025

28 Aug 2025

Pada 27 Ogos 2025 (Rabu), Program Sukan Rakyat Galah Panjang bersempena menyambut Hari Kebangsaan 2025 peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Program ini melibatkan hampir 60 kakitangan yang mewakili pelbagai Jabatan, Unit dan Pusat di bawah portfolio pengurusan HCTM.

Program ini bertujuan untuk mengukuhkan silaturahim dan mengeratkan hubungan ukhuwah antara Pengarah, Ahli Pengurusan serta kakitangan hospital. Selain itu, program ini turut menggalakkan perpaduan dan semangat berpasukan melalui aktiviti sukan tradisional dan mewujudkan suasana mesra dan harmoni di antara warga kerja HCTM. Program telah dimulakan dengan acara senamrobik sebelum ke acara kemuncak, iaitu pertandingan permainan tradisional Galah Panjang. Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Galah Panjang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Turut hadir memberi sokongan kepada program ini, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan dan Puan Masrifah Zakaria, YBrs. Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

 

Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM

10 Apr 2025
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat telah mengadakan Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM pada 26 Mac 2025 (Rabu), di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Program ini bertujuan untuk menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia, serta untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak pengurusan hospital dan warga HCTM. Aktiviti memasak dan membungkus rendang daging telah dijalankan seawal jam 10.00 pagi dengan bantuan 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan HCTM.
Sebanyak 500 pek rendang daging telah berjaya disediakan dan agihan telah dibuat pada jam 3.00 petang. Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila kakitangan HCTM mula membanjiri lokasi agihan seawal jam 2.30 petang. Ahli Pengurusan HCTM yang hadir menjayakan program ini, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.
@hctm_ukm

Jom Merendang Bersama Pengurusan HCTM #HCTM #UKM #betterfasterfriendlier #HCTMtiktok #MerendangBersamaPengurusan #fyp #fypシ゚viral

♬ Serumpun – Mimifly

 

Persembahan Tarian Sumazau dan Magunatip

24 Jun 2024
Jabatan Komunikasi Korporat telah menganjurkan aktiviti seni bersempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2024 iaitu Persembahan Tarian Sumazau dan Magunatip oleh Pusat Kebudayaan Universiti, UKM di Lobi Utama, HCTM pada 4 Jun 2024 yang lalu.
Aktiviti yang diadakan ini bertujuan memperkenalkan dan mempersembahan tarian tradisional kaum etnik Sabah dan Sarawak. Tarian sumazau diinspirasikan daripada corak terbang burung helang yang disaksikan oleh petani di ladang semasa musim menuai. Manakala, tarian magunatip lebih dikenali sebagai tarian buluh. Dalam pada itu, warga HCTM dan orang awam turut diberi peluang dan pengalaman untuk mencuba sendiri kedua-dua tarian tersebut.
Persembahan yang berlangsung selama 1 jam ini dimeriahkan dengan kehadiran Pengurusan HCTM iaitu Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dan Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan.

Majlis Memori Chow Kit Road

1 Sep 2023

CHERAS, 24 Ogos 2023 – Dianggarkan 200 orang warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras) yang terdiri daripada pelbagai jabatan telah membanjiri Laluan Hadapan Auditorium untuk menyaksikan Majlis Memori Chow Kit Road iaitu salah satu aktiviti Program Semarak Kemerdekaan yang diadakan pada Bulan Kemerdekaan. Inisiatif Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan diadakan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras) yang akan disambut pada 31 Ogos 2023 nanti.

Majlis Memori Chow Kit Road merupakan program menyambut ambang kemerdekaan yang ke-66 dengan menggunakan konsep yang diambil daripada konsert jalanan terbesar Allahyarham Sudirman Arshad telah diadakan secara percuma pada 14 April 1986 di Jalan Chow Kit. Konsert penyanyi pop 80-an tersebut telah mencipta sejarah apabila menghimpunkan lebih 100, 000 daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang, kaum, agama dan pendidikan. Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ‘Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, konsep yang diketengahkan ini telah diterima baik dan mendapat maklum balas positif daripada warga kerja HCTM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras). Antara pengisian program Memori Chow Kit Road ialah perarakan kawad kaki Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur yang diketuai oleh Encik Mohd Shukur Halim, penyerahan Jalur Gemilang oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM kepada Kapten (B) Hamon Rafiz Abd Hamed, Ketua Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur, pengibaran jalur gemilang serta nyanyian lagu Negaraku, nyanyian kior, deklamasi sajak, pakaian terbaik, dan reruai juadah seperti nasi lemak, kuih, air balang, ubi kayu rebus dan lain-lain.

Antara yang hadir ke Majlis Memori Chow Kit Road ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Ketua-ketua Jabatan dan warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras).

 

Persembahan Kebudayaan Tradisional Malaysia

23 Aug 2023

Persembahan Kebudayaan Tradisional Malaysia bersempena Program Semarak Kemerdekaan anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan telah diadakan pada 22 Ogos 2023 bertempat di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Acara dimulakan dengan persembahan seni gamelan dari Kumpulan Astraloka Enterprise diikuti dengan bengkel instrumen gamelan. Antara instrumen yang digunakan adalah Bonang, Saron Pekin, Saron Baron, Gendang dan Gong. Program berlangsung selama 2 jam ini mendapat sambutan yang hebat. Program dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) bagi memberi sokongan kepada penganjuran program tersebut. Selain dari seni persembahan gamelan, turut diadakan peraduan ‘Teka dan Menang’ iaitu aktiviti meneka jumlah guli dalam balang. Para pemenang yang berjaya diumumkan sejurus selepas majlis selesai.

Antara yang hadir dalam program ini ialah Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM, Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Bin Md. Zainuddin, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Warga UKM dan Orang Awam.

Program ‘M Untuk Meow’ sempena Sambutan Hari Kucing Sedunia

22 Aug 2023

Rakaman lensa Program ‘M Untuk Meow’ sempena Sambutan Hari Kucing Sedunia anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan (JKKKP) telah diadakan pada 17 Ogos 2023 bertempat di Dewan Serbaguna 1, Bangunan Blok Tambahan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Program ini diadakan bertujuan untuk berkongsi kepada warga UKM khususnya kepada pencinta dan pemilik kucing mengenai penjagaan dan pemakanan kucing. Sesi perkongsian mengenai asas penjagaan kucing telah disampaikan oleh Dr. Muhammad Naim Md Kasim, doktor veterinar dari Kitty’s Care. Manakala, Dr. Ayesha Shafinaz Azlan, Scientific Communication Manager, Royal Canin Malaysia berkongsi tentang pemakanan kucing.

Royal Canin turut menyediakan ‘doorgift’ kepada warga UKM yang hadir ke program tersebut. Program yang berlangsung selama 2 jam ini telah menerima sambutan yang meriah terutamanya penglibatan warga dalam kuiz (kahoot). Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Terima kasih juga kepada Warong Bistro di atas sumbangan juadah ringan untuk para peserta program ini.

Sumbangan daripada Dato’ Hj Mohamed Zainal Abidin Bin Hj Abdul Kadir daripada YTL Corporation Berhad

6 Jul 2021

Sebanyak 10 unit kerusi roda telah disumbangkan oleh Dato’ Hj Mohamed Zainal Abidin Bin Hj Abdul Kadir daripada YTL Corporation Berhad pada 2 Julai yang lepas. Kedatangan penyumbang telah disambut mesra oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kuala Lumpur dan Puan Yasmin Rahimi, Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Media. Sumbangan ini merupakan sumbangan peribadi Dato’ Hj Hohamed Zainal kepada HCTM.

Program Ihya’ Semarak Ramadan Jalinan Kasih anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan (JKKKP)

10 May 2021

Program Ihya’ Semarak Ramadan Jalinan Kasih anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan (JKKKP) telah diadakan pada 30 April 2021 dengan menyampaikan 400 pek bubur lambuk kepada warga HCTM. Sumbangan telah disampaikan oleh Puan Aliza Mansor, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan kepada kakitangan di Pejabat Pengarah, Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Multimedia dan Penyiaran, Unit Forensik JPMD, CSSD, Kaunter Keselamatan, dan Unit Telekar. Aktiviti ini merupakan program khidmat masyarakat JKKKP sempena Bulan Ramadan Al-Mubarak.

Webinar Sempena Hari Kesihatan Sedunia 2021

20 Apr 2021

Webinar Sempena Hari Kesihatan Sedunia 2021 bertajuk “Concept of Carbohydrate Exchange – Learn More & Get It Right!” anjuran Unit Komunikasi Korporat dan Media telah diadakan petang semalam secara Facebook LIVE dengan bilangan penonton secara langsung seramai 130 orang. Webinar ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada pengikut Facebook HCTM dan orang awam akan kepentingan menjaga pengambilan makanan dan kuantiti serta jenis makanan  yang betul terutama sekali dalam bulan Ramadan. Ceramah telah disampaikan oleh Puan Loo Mei Fong, Senior Diabetes Nurse Educator, Sanofi Pharmaseutical. Manakala moderator ceramah ini ialah Puan Yasmin Rahimi, Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Media. Walaupun tiada markah eSPeL ditawarkan dalam webinar ini, namun jumlah penonton secara langsung amat mengalakkan.

Majlis Semarak Sambutan Ramadhan Al-Mubarak JKKKP

5 Apr 2021

Majlis Semarak Sambutan Ramadhan Al-Mubarak JKKKP yang dianjurkan pada 2 April 2021, jam 3.00 petang merupakan program pertama sejak penggabungan Unit Acara & Protokol dan Jabatan Khidmat Pelanggan. Objektif penganjuran majlis adalah untuk meraikan kedatangan bulan Ramadhan dan juga merapatkan silaturrahim antara kakitangan. Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Aliza Mansor, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan (JKKKP). Seterusnya tazkirah disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Hassan daripada Pusat Islam KKL. Kemuncak program yang dinantikan ialah acara menjamu selera. Seiring dengan jamuan makan, sesi penyampaian Anugerah Istimewa Kakitangan ‘Beyond Expectation’, sesi kuiz dan permainan minda turut diselitkan.

1 2

Search

+