Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mula beroperasi pada Jun 1997. Sejak penubuhannya, hospital ini telah berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan jangkitan yang disebabkan oleh mikroorganisma patogen, termasuk organisma yang mempunyai kerintangan terhadap pelbagai antibiotik (multidrug-resistant organisms, MDRO). Situasi ini menimbulkan pelbagai implikasi terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan kesihatan, sekali gus memerlukan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang berkesan.

Bagi memastikan strategi pencegahan dan kawalan infeksi dilaksanakan secara sistematik, berkesan dan selaras dengan amalan terbaik, hospital telah menubuhkan Pasukan Kawalan Infeksi. Pasukan ini bertanggungjawab membangunkan dasar, garis panduan dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh semua kakitangan hospital bagi mengurangkan risiko penularan organisma berisiko tinggi, termasuk organisma yang mempunyai kerintangan antimikrob.

Selaras dengan perkembangan perkhidmatan dan keperluan pengurusan infeksi yang semakin kompleks, Pasukan Kawalan Infeksi kemudiannya diperkukuhkan melalui penubuhan Unit Kawalan Infeksi(UKI) yang diterajui oleh seorang Doktor Kawalan Infeksi sebagai Ketua Unit, dengan sokongan Ketua Jururawat dan Jururawat Kawalan Infeksi.

Pada tahun 2008, Unit Kawalan Infeksi telah memperluaskan skop perkhidmatannya dengan mengintegrasikan perkhidmatan makmal yang berperanan dalam penyaringan organisma amaran (alert organisms) dan organisma multirintang, penyiasatan wabak (outbreak investigation), ujian steriliti serta pemantauan persekitaran (environmental monitoring). Perkhidmatan ini dilaksanakan oleh Pegawai Sains dan Juruteknologi Makmal Perubatan bagi memastikan aktiviti pencegahan, pengesanan dan kawalan jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (healthcare-associated infections) dapat dijalankan secara cepat, tepat dan berkesan.

Kini, UKI dianggotai oleh seorang Pakar Mikrobiologi Perubatan selaku Ketua Unit Kawalan Infeksi, Pegawai Perubatan, Pegawai Sains, Ketua Jururawat, Jururawat Kawalan Infeksi, Juruteknologi Makmal Perubatan, Pembantu Tadbir dan Pembantu Khidmat Am.