Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia Peringkat HCTM 2024

26 May 2024
Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2024 anjuran Unit Kawalan Infeksi dan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM pada 8 Mei 2024.
Setiap tahun pada 5 Mei, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan kempen SAVE LIVES: Clean Your Hands sempena sambutan World Hand Hygiene Day yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan tangan dalam kalangan anggota kesihatan dan orang awam.
Kepatuhan kepada amalan kebersihan tangan dalam kalangan anggota kesihatan adalah langkah utama yang terbukti berkesan dalam pencegahan kes jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan dan kerintangan antimikrob (antimicrobial resistance).
Sambutan ini dimeriahkan dengan penyampaian Anugerah “HCTM Hand Hygiene Excellence 2023” dan persembahan ‘Kebersihan Tangan’ oleh Kumpulan Silat dan TASKA HCTM.
Selain itu, program ini turut menampilkan penceramah jemputan daripada Hospital Al-Sultan Abdullah, UITM dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Dr. Sharifah Azura Salleh, Ketua Unit Kawalan Infeksi HCTM merangkap Pengerusi Program, Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM dan warga HCTM.

Search

+