SAMBUTAN HARI ASMA SEDUNIA 2026 @ HCTM

KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026 (Selasa) – Bersempena dengan sambutan Hari Asma Sedunia 2026, Pusat Perkhidmatan Endoskopi dengan kerjasama Pusat Jantung & Paru-Paru, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya menganjurkan Program Hari Asma peringkat hospital. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan asma yang efektif dan mampan.
Penganjuran program ini adalah selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan). Melalui usaha pencegahan dan pendidikan kesihatan pernafasan, HCTM komited dalam mempromosikan persekitaran hospital yang sihat, selamat, dan kondusif bagi manfaat komuniti setempat.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharuddin. Program ini turut mendapat sokongan padu melalui kolaborasi strategik bersama pihak industri, AstraZeneca Sdn. Bhd.
Bagi menarik minat dan memberikan pengisian bermakna kepada para pengunjung, pelbagai segmen interaktif telah disusun, antaranya:
- Kaunter Saringan Kesihatan: Merangkumi Ujian Peak Flow bagi menilai tahap fungsi paru-paru.
- Demonstrasi Teknik Inhaler: Sesi bimbingan praktikal untuk memastikan keberkesanan rawatan pesakit.
- Program Kuiz Kesihatan: Aktiviti didik hibur bagi menguji kefahaman mengenai penyakit asma.
- Aktiviti Fizikal: Sesi senamrobik dan latihan pernafasan yang mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung, pelawat, serta kakitangan hospital.
Melalui penganjuran ini, HCTM berharap agar masyarakat lebih peka terhadap pengurusan asma secara klinikal sekaligus mengurangkan risiko serangan asma yang serius di masa hadapan.





