The 2nd Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) Workshop
Unit Gastroenterologi dan Hepatologi, Jabatan Perubatan dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Endoskopi serta Unit Upper GI & Bariatrik Surgeri telah berjaya menganjurkan The 2nd Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) Workshop di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Bengkel ini bertujuan memberikan latihan teori dan praktikal kepada pakar serta pakar pelatih Gastroenterologi mengenai teknik ESG – iaitu satu prosedur endoskopi terkini yang menawarkan pendekatan tidak invasif dalam rawatan obesiti, khususnya bagi pesakit dengan sindrom metabolik dan penyakit hati berlemak.
Penganjuran bengkel ini telah dipimpin oleh pakar-pakar terkemuka dalam bidang masing-masing, iaitu Dr. Deborah Chew (Pakar Perunding Gastroenterologi), Prof. Datuk Dr. Nik Kusai (Pakar Perunding Bedah Upper GI), dan Dr. Loo Guo Hou (Pakar Bedah Upper GI). Kehadiran dan kepakaran mereka telah memberikan nilai tambah yang signifikan dalam memastikan bengkel ini berlangsung dengan jayanya.
Isu obesiti di Malaysia kini berada pada tahap yang membimbangkan, apabila Laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa hampir 50% populasi dewasa mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes (30.4% berlebihan berat badan dan 19.7% obes). Malaysia juga dikenal pasti sebagai negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Fenomena ini turut meningkatkan risiko penyakit metabolik seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung serta penyakit hati berlemak, sekali gus memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan negara.
Sehubungan itu, penganjuran bengkel ini bukan sahaja relevan tetapi juga kritikal dalam menyediakan kepakaran tempatan bagi menangani isu obesiti yang semakin meningkat.
Kejayaan bengkel ini turut memberi impak besar kepada Pusat Perkhidmatan Endoskopi HCTM kerana ia memperkukuh peranan pusat sebagai hab latihan dan rujukan dalam bidang endoskopi canggih. Pada masa yang sama, ia melonjakkan imej HCTM sebagai hospital akademik yang berupaya menawarkan rawatan inovatif sejajar dengan standard antarabangsa. Lebih luas lagi, kejayaan ini juga memberi impak positif kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana ia menonjolkan UKM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berperanan aktif dalam melahirkan pakar perubatan bertaraf global, memperkukuh reputasi universiti dalam bidang penyelidikan klinikal, serta meningkatkan visibiliti UKM di peringkat serantau dan antarabangsa.









