HCTM and Renji Hospital, Shanghai Jiao Tong University School of Medicine, Seal Strategic Partnership in Global Education and Health

10 Nov 2026 2026, News, News 2026

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena perubatan antarabangsa menerusi pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent) bersama Hospital Renji, Universiti Perubatan Shanghai Jiao Tong. Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga, Blok Pendidikan HCTM pada pukul 2.30 petang ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal berimpak tinggi.

Delegasi Hospital Renji, Universiti Perubatan Shanghai Jiao Tong yang diketuai oleh Prof. Xia Qiang, Presiden Hospital Renji, Universiti Perubatan Shanghai Jiao Tong telah disambut oleh Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin, bersama barisan pengurusan serta pegawai kanan HCTM.

Menerusi pemeteraian LOI ini, kedua-dua institusi bersetuju untuk meneroka dan memperkukuh kerjasama strategik yang merangkumi pertukaran kepakaran, latihan teknikal serta program pertukaran pelajar dan pelatih subkepakaran. Kerjasama ini turut memberikan penekanan khusus terhadap latihan pembedahan, terutamanya dalam bidang pembedahan dan pemindahan hati serta urologi.

Selain itu, skop kerjasama turut meliputi pembangunan perubatan diperibadikan (personalised medicine) berasaskan teknologi organoid, pembangunan platform Hospital Pintar (Smart Hospital), pelaksanaan ujian klinikal selari bagi terapi gen dan sel serta perkongsian maklumat dan hasil penyelidikan secara berterusan.

Kerjasama rentas sempadan ini dijangka dapat memperkukuh kedudukan HCTM sebagai sebuah pusat perubatan akademik yang unggul di peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, perkongsian ilmu, teknologi dan kepakaran bersama Hospital Renji yang mempunyai reputasi cemerlang dalam bidang perubatan dijangka mampu membuka ruang kepada penerokaan inovasi baharu, meningkatkan keupayaan penyelidikan serta memperkasakan mutu perkhidmatan kesihatan negara.

Inisiatif ini sekali gus menjadi langkah bermakna ke arah memperkukuh hubungan akademik dan klinikal antara Malaysia dengan China, di samping menyokong kemajuan pendidikan perubatan dan pembangunan ekosistem kesihatan global.


Galeri Foto:

Search

+