HCTM Lancar Inisiatif Tanpa Plastik

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengorak langkah proaktif dalam menyahut seruan kelestarian global dengan melancarkan “Program Kelestarian: Inisiatif Tanpa Plastik” secara rasmi pada hari ini. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, bertempat di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.

 

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Dr. Azmi Baharudin menegaskan bahawa pelancaran program ini merupakan suatu anjakan budaya yang menyeluruh demi mencerminkan komitmen HCTM terhadap kesejahteraan masyarakat dan mesra alam. Beliau menggariskan bahawa sebagai sebuah hospital pengajar dan pusat perubatan akademik yang terkemuka, HCTM memikul tanggungjawab besar kerana parameter kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar adalah saling berkait rapat.

 

Menurut beliau lagi, dalam era modenisasi yang serba mencabar ini, ancaman lambakan sisa plastik sekali guna telah mencapai tahap yang amat membimbangkan di peringkat global kerana bahan sintetik tersebut mengambil masa ratusan tahun untuk terurai, sekali gus meracuni tanah, sistem perairan, serta rantaian makanan yang akhirnya memudaratkan kesihatan manusia secara kronik.

 

Program ini merupakan inisiatif yang digerakkan secara kolaboratif oleh Jawatankuasa Pembangunan Mampan (SDG) HCTM bersama Jabatan Kualiti bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna secara berperingkat dalam kalangan warga kerja mahupun para pelanggan hospital. Warga HCTM diseru untuk memulakan langkah konkrit yang mudah seperti membudayakan amalan membawa bekas minuman sendiri, menggunakan bekas makanan guna semula, serta menolak pemberian beg plastik secara total di premis hospital.



Turut hadir pada majlis ini, YBhg. Prof. Dr. Marliah Mohd Hanafiah, Timbalan Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) HCTM, Ahli-ahli Pengurusan HCTM, YBrs. Dr. Noor Asyikin Jasni, Ketua Jabatan Kualiti, Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kanan HCTM UKM.

Search

+