PIRAMID MAKANAN 2020
Piramid Makanan Malaysia 2020 merupakan semakan semula kepada Piramid Makanan 2010 selaras dengan bukti saintifik dan status pemakanan rakyat Malaysia yang terkini. Piramid Makanan Malaysia 2020 ini disasarkan kepada golongan dewasa berumur 18 hingga 59 tahun.
Saranan pemakanan sihat dalam panduan diet ini disampaikan melalui 14 Mesej Utama, di antaranya lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta banyak minum air kosong setiap hari.
Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi penting untuk meningkatkan sistem imuniti tubuh. Manakala pengambilan 6 hingga 8 gelas air kosong sehari dapat memastikan kesihatan dan fungsi tubuh yang baik. Kedua-dua mesej utama ini penting terutamanya ketika menghadapi wabak.
PERUBAHAN & PENAMBAHBAIKAN PIRAMID MAKANAN MALAYSIA 2020
Jadi, apakah perubahan dan penambahbaikan dalam Piramid Makanan Malaysia 2020 ini?
Piramid Makanan Malaysia 2020 menekankan aspek pengambilan SAYUR & BUAH-BUAHAN, berbanding sebelumnya menekankan pengambilan bijirin & karbohidrat yang menyebabkan ramai yang keliru dan merasakan pengambilan karbohidrat itu diperlukan dalam jumlah yang banyak setiap hari. Walhal pengambilan karbohidrat yang berlebihan akan menyebabkan kenaikan berat badan, obesiti, dah risiko kencing manis.
Kini, kumpulan karbohidrat berada di tangga yang kedua. Contoh karbohidrat ialah nasi, mi, mihun, pasta, kuey teow, biskut, roti, oat, lobak merak, kentang, ubi-ubian. Kumpulan makanan ini perlu diambil dalam jumlah yang sederhana setiap hari.
Cara mudah, ingat konsep suku suku separuh:
– Suku karbohidrat (nasi, mi, mihun, kuey teow, pasta)
– Suku protein (ayam, ikan, telur, daging, tempe, tauhu)
– Separuh sayur & buah-buahan


Secara ringkasnya, perubahan besar dalam Piramid Makanan Malaysia 2020 adalah seperti berikut:
- Kumpulan Sayuran / Buah-buahan Diletakkan Pada Dasar Piramid
-
- Kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan diletakkan pada dasar piramid, berbanding Piramid Makanan Malaysia 2010 yang meletakkan makanan sumber karbohidrat (nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian).
- Ini bermakna sayur-sayuran dan buah-buahan perlu diambil dengan jumlah yang paling banyak berbanding kumpulan makanan lain, iaitu sekurang-kurangnya 3 sajian sayur-sayuran dan 2 sajian buah-buahan setiap hari.
- Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber vitamin dan mineral yang penting dalam meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit.
- Kumpulan Karbohidrat Terletak Di Tangga Kedua
-
- Piramid Makanan Malaysia 2020 menyarankan julat peratus pengambilan karbohidrat yang lebih rendah iaitu 50-65% berbanding Piramid Makanan Malaysia 2010 iaitu 55-75% daripada jumlah pengambilan tenaga sehari.
- Piramid Makanan Malaysia 2020 ini juga menekankan saranan pengambilan sumber karbohidrat kompleks dan tinggi serat seperti beras perang, roti bijirin penuh, oat dan jagung.
- Saranan Pengambilan 6-8 Gelas Air Kosong
-
- Saranan pengambilan 6-8 gelas air kosong sehari turut ditambah pada ilustrasi Piramid Makanan Malaysia 2020. Pengambilan air yang mencukupi dapat memastikan badan kita sentiasa terhidrat bagi menjaga kesihatan terutama di musim pandemik Covid-19 ini.
- Penggunaan Piramid Makanan Malaysia 2020 ini diharap dapat membantu rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan sihat pada setiap hari bagi memastikan kesihatan kita sentiasa terjaga dan terhindar daripada jangkitan penyakit, di samping mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dah hipertensi.
Penulis : Muhammad Azif Azizi Bin Md Noh
Sumber: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
