BERAYA BUKAN ‘BALAS DENDAM’
AIDILFITRI yang disambut pada setiap tahun, diraikan dengan penuh kegembiraan oleh ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan yang mengambil peluang berkumpul bersama sambil menikmati pelbagai makanan yang lazat yang dihidangkan.
Dalam kegembiraan meraikan lebaran, ramai yang terlepas pandang keperluan untuk menjaga kesihatan selepas secara konsisten berjaya berbuat demikian ketika menjalani ibadah puasa.
Pegawai Dietetik, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Azif Azizi Md Noh berkata, ketika Aidilfitri, banyak makanan yang dihidangkan mempunyai kandungan tinggi dengan gula dan lemak seperti biskut raya, dodol, lemang, rendang dan pelbagai air manis.
“Tabiat mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dan berlebihan kalori boleh menyebabkan pertambahan berat badan sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang.
“Ramai di antara kita sukar untuk menjaga diet dan mengamalkan gaya hidup sihat ketika Aidilfitri dan makan secara berlebihan kerana tidak mengamalkan “Mindful Eating” di mana kita perlu memberi fokus mengenai tabiat makan dan apa yang kita makan,
“Bagaimanapun ketika Aidilfitri semasa menjamah hidangan dalam masa sama kita cenderung untuk bersembang sehingga kita tidak fokus dan tidak sedar mengambil makan secara berlebihan,” katanya.
Beliau tidak bersetuju dengan pandangan segelintir individu yang beranggapan sambutan hari raya adalah peluang membalas dendam dengan makan apa sahaja selepas sebulan berpuasa dan memberi alasan Aidilfitri hanya setahun sekali.
“Pandangan saya berkenaan kenyataan ini adalah tidak betul. Kebiasaannya di luar bulan Syawal kita akan makan tiga hidangan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
“Akan tetapi ketika Aidilfitri, individu cenderung untuk makan lebih daripada tiga hidangan daripada kebiasaan kerana mengunjungi banyak rumah saudara-saudara dan rakan-rakan. Hal ini akan mengakibatkan kita akan makan dengan kuantiti banyak dan melebihi daripada saranan kalori.
“Untuk menjaga hati tuan rumah yang bersusah payah menyiapkan hidangan, sebenarnya kita masih lagi mengawal diri dengan menjamah hidangan dengan kuantiti yang sedikit sahaja,” katanya.
Muhammad Azif berkata, pengambilan makanan yang tidak sihat secara berlebihan ketika Aidilfitri boleh mengakibatkan pertambahan berat badan yang boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.
“Perlu diingatkan individu yang mempunyai kencing manis, darah tinggi dan kolesterol perlu betul-betul menjaga pemilihan jenis makanan ketika sambutan Aidilfitri, jika pemakanan tidak dijaga.
“Hal ini akan menyebabkan kawalan glisemik dalam darah menjadi lebih tinggi, tekanan darah dan aras kolesterol juga menjadi tinggi yang boleh meningkatkan risiko penyakit strok, jantung dan buah pinggang kronik,” katanya.
Menurutnya, secara umumnya ketika Aidilfitri atau musim perayaan, tiada spesifik jenis makanan yang perlu dielakkan. “Bagaimanapun sebagai tetamu yang berkunjung perlu mengetahui konsep makan secara sihat dengan cukup sekadar mengambil dalam kuantiti yang sederhana tidak perlu berlebihan.
“Ambil makanan yang lengkap dan seimbang dengan mengimplementasikan konsep pinggan sihat Malaysia, suku-suku separuh,” katanya.
Tambahnya, sebenarnya, seseorang yang ingin menjaga pemakanan ketika sambutan Aidilfitri perlu mengetahui konsep makan secara sihat di Aidilfitri seperti contoh makan dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil.
“Hadkan pengambilan makanan yang manis dan berlemak seperti dodol dan rendang. Pilih buah-buahan segar sebagai snek atau pencuci mulut.
“Perlu hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek dan pilih untuk minum air kosong berbanding minuman berperisa berkarbonat atau minuman yang manis,” katanya.
Pada masa yang sama, tuan rumah yang menghidangkan makanan ketika Aidilfitri yang perlu memahami konsep meraikan tetamu secara sihat di Aidilfitri seperti sediakan makanan dalam saiz hidangan yang kecil.
“Menyediakan pilihan air kosong pada setiap waktu makan. Boleh juga mengasingkan gula apabila menghidang teh atau kopi.
“Hidangkan pelbagai jenis sayur bersama hidangan utama dan menghidangkan buah-buahan pada setiap waktu makan sebagai pencuci mulut.
“Menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat seperti sup berbanding kuah lemak. Tuan rumah juga boleh elakkan menghidang asam, jeruk dan gula-gula kepada tetamu semasa Aidilfitri,” katanya.
Beliau menasihatkan semua umat Islam yang menyambut Aidilfitri makanlah secara bersederhana dan tidak terlalu berlebihan.
“Masalah kegemukan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila kini satu daripada dua individu dewasa di negara ini, kita perlu berhentikan trend masalah obesiti ini.
“Pada musim Aidilfitri ini adalah digalakkan untuk semua masyarakat mengetahui jumlah kalori untuk hidangan di Aidilfitri dan makan dalam jumlah sederhana atau makan dalam kalori yang disarankan bagi mengelakkan pertambahan berat badan,” katanya.
Penulis: Muhammad Azif Azizi Md Noh
Editor: Muhamaad Razis Ismail
Sumber: Metro Ahad, | 6 April 2025























Piramid Makanan Malaysia 2020 merupakan semakan semula kepada Piramid Makanan 2010 selaras dengan bukti saintifik dan status pemakanan rakyat Malaysia yang terkini. Piramid Makanan Malaysia 2020 ini disasarkan kepada golongan dewasa berumur 18 hingga 59 tahun.
