KARNIVAL JAGO GULO JANG
Fakulti Perubatan melalui Jabatan Perubatan Kesihatan Awam (JPKA) telah menganjurkan program khidmat masyarakat, Karnival Jago Gulo Jang, yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif komuniti di bawah projek N9 Sihat dan merupakan kali ketiga JPKA bertindak sebagai urusetia utama dalam menganjurkan program kesihatan berskala komuniti di kawasan Sendayan.
Program ini dipimpin oleh Prof. Dr. Aniza Ismail dan Prof Madya Dr Idayu Badilla sebagai Penasihat Program. Sokongan penuh juga diberikan oleh Ketua Jabatan JPKA, Prof. Dr. Rozita Hod, yang bersama-sama menjayakan program ini. Prof. Madya Dr. Idayu Badilla turut berperanan sebagai Penyelaras MoU UKM-Sendayan, mengukuhkan lagi hubungan strategik antara universiti dan komuniti setempat.
Turut menjadi tonggak pelaksanaan program ialah pelajar-pelajar Sarjana Kesihatan Awam JPKA, yang menjadi penggerak utama merancang, menyelaras dan melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung. Penglibatan aktif para pelajar ini memperlihatkan komitmen UKM dalam melatih pegawai kesihatan masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Program ini dijalankan dengan kerjasama strategik bersama agensi-agensi luar seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Yayasan Negeri Sembilan, Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PEMANIS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Program dimulakan dengan sesi senaman chairobic, senaman ringan yang dilakukan sambil duduk, sesuai bagi pesakit diabetes yang mempunyai keterbatasan ruang dan masa. Seterusnya, forum penjagaan kesihatan yang menampilkan Dr. Mohd Yusaini Mohd Yusri, Pakar Perubatan Keluarga dari Klinik Kesihatan Seremban 2, dan Encik Muhammad Azif Azizi Md Noh, Pegawai Dietetik dari HCTM, telah memberikan perkongsian yang amat bermakna. Forum ini dikendalikan oleh Dr. Muhammad Sufi Mohd Pauze, pelajar Sarjana Kesihatan Awam JPKA, Fakulti Perubatan UKM.
Pelbagai booth kesihatan turut diadakan seperti pemeriksaan kesihatan, pemakanan sihat, saringan pap smear, pemeriksaan mata, klinik pergigian bergerak dari Fakulti Pergigian USIM, booth demonstrasi masakan sihat, penjagaan kaki, preskripsi senaman dan penerangan ubat-ubatan. Juga disediakan booth jualan Rahmah oleh KPDN dan booth Peka B40 untuk golongan memerlukan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan UKM. Turut hadir ialah YBrs. Encik Ibrahim Noor Azam, Ketua Bahagian Pendidikan, Yayasan Negeri Sembilan mewakili Pengarah Yayasan, Dr. Asmah Johari, Pegawai Kesihatan Daerah II Seremban, serta En. Azmi Othman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Felda Sendayan. Acara turut disertai Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar, Timbalan Dekan (Jaringan, Industri & Masyarakat), pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah, barisan pensyarah Fakulti Perubatan UKM dan komuniti sekitar.
Penglibatan pelajar Sarjana Kesihatan Awam JPKA Kohort ke-16 yang dipimpin oleh Dr. Mu’iz bin Mohd Hazizan dan Dr. Nur Izzati Binti Mohd Hashim.
sangat memberangsangkan. Mereka telah memainkan peranan sebagai penyelaras booth, fasilitator, penyampai maklumat, serta sukarelawan barisan hadapan yang memastikan setiap komponen program berjalan dengan lancar dan memberi impak maksimum kepada peserta.
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Dekan menyatakan bahawa objektif program ini bukan hanya untuk memberi kesedaran kepada pesakit kencing manis, tetapi juga sebagai pendedahan awal kepada mereka yang sihat agar lebih prihatin terhadap kesihatan diri, khususnya dalam menjaga paras gula dalam darah. Beliau mengakhiri ucapannya dengan mesej yang menjadi tema utama program: “Kalau dah terkena penyakit, kan den dah koba… JAGO GULO JANG!”











