Bengkel Dietetik Klinikal Bil 1/2024

2 Sep 2024

Bahagian Klinikal JPDSM telah mengadakan Bengkel Dietetik Klinikal Bil 1/2024 (Update on Chronic Kidney Disease) pada 27 Ogos 2024, Selasa bertempat di Bilik Mesyuarat, Tingkat 3, Blok Tambahan, HCTM yang melibatkan semua Pegawai Dietetik HCTM.

Bengkel ini bertujuan berikan pengetahuan terkini tentang pengurusan pemakanan untuk pesakit buah pinggang secara teori dan praktikal, khususnya pesakit buah pinggang tahap akhir (end stage renal disease) yang memerlukan rawatan hemodialisis dan peritoneal dialisis.

Jabatan telah menjemput beberapa orang penceramah bagi berkongsi tentang kepakaran masing-masing:
– Prof. Madya Dr. Rozita Mohd (Pakar Perunding Nefrologi, HCTM) berkenaan pengetahuan terkini tentang Penyakit Buah Pinggang Kronik dalam perspektif Pakar Nefrologi.
– Puan Arsyurahmah Abdull Rahman (Pegawai Dietetik, Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu) berkenaan pendekatan Pemakanan Terkini dalam Menguruskan Penyakit Buah Pinggang Kronik.
– Puan Raja Ili Nabila Raja Sharudin (Clinical Executive, PD, Fresenius Medical Care Malaysia Sdn. Bhd.) dalam pengenalan kepada Dialisis Peritoneal.
– Puan Junaida Che Ali (Penyelia Jururawat, Unit Hemodialisis, HCTM) tentang hemodialisis.
–  Puan Wan Haslina Wan Hassan (Jururawat Terlatih, Unit PD, HCTM) berkenan CAPD.

Secara kesimpulannya, bengkel ini dapat memberikan manfaat kepada semua Pegawai Dietetik HCTM dan seterusnya diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dietetik klinikal kepada pesakit terutama bagi pesakit dengan masalah buah pinggang di HCTM.

 

Bengkel Latihan Pengendalian Makanan, JPDSM

3 Jul 2024

Jabatan Perkhidmatan Dietetik & Sajian Makanan, HCTM telah mengadakan Bengkel Latihan Pengendalian Makanan pada 2 Julai 2024, Selasa bertempat di Auditorium ASSC, HCTM yang melibatkan semua kakitangan JPDSM dan wakil katerer iaitu Syarikat RHR Sdn. Bhd.

Bengkel ini bertujuan memberi pengetahuan dan pendedahan serta kesedaran kepada semua peserta tentang kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat. Peserta juga dapat mempelajari dan menekankan aspek-aspek asas dalam kebersihan dan keselamatan makanan serta mempelajari cara penyimpanan makanan yang betul dan cara menjaga kebersihan diri. Bengkel ini juga selaras dengan kehendak keperluan ISO dan MSQH.

Jabatan telah menjemput En. Muhammad Sharif Mat Jamal, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Unit Kesihatan Awam, HCTM untuk menyampaikan ceramah bagi bengkel tersebut. Selain itu, 3 orang Penolong Pegawai Penyediaan Makanan dari JPDSM juga telah memberikan Continuos Catering Updates kepada peserta.

Secara kesimpulannya, bengkel ini dapat memberikan manfaat kepada peserta dan secara tidak langsung dapat memberikan perkhidmatan sajian makanan yang selamat & berkualiti kepada pesakit di wad HCTM.

 

Penulis : Norasyikin Johan & Muhammad Azif Azizi Bin Md Noh, Pegawai Dietetik, HCTM

 

TIPS DIET SIHAT BULAN RAMADAN

19 Mar 2024

Ramadan adalah salah satu bulan paling istimewa dalam kalendar Islam. Semasa bulan mulia ini, orang Islam akan berpuasa dari terbit fajar hingga matahari terbenam tanpa makan dan minum sepanjang tempoh itu.

Penting untuk kita kekal cergas dan sihat sepanjang bulan Ramadan. Makanan yang mencukupi dan bergerak aktif memberikan tenaga kepada kita untuk melakukan rutin harian kita, membantu kita menumpukan perhatian semasa bekerja dan menyertai aktiviti-aktiviti bulan Ramadan yang istimewa seperti solat tarawih atau menunaikan ibadah Qiyamullail.


Berikut adalah beberapa tip diet sihat yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadan.

Tip Waktu Bersahur

  1. Sediakan makanan yang segar dan baru dimasak
  2. Ambil sajian bijirin yang tinggi serat seperti oat, barli, beras perang supaya dapat mengekalkan tenaga untuk tempoh yang lebih panjang
  3. Pastikan ada sajian daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan protein seperti ayam, ikan, telur, daging dan kekacang
  4. Elakkan makanan yang digoreng semula kerana penggunaan minyak akan menyebabkan pertambahan kalori
  5. Minum air kosong secukupnya
  6. Waktu sahur paling baik adalah 1/2 jam sebelum waktu imsak

Tip Semasa Berbuka Puasa

  1. Mulakan dengan juadah ringan seperti kurma
  2. Makan makanan utama selepas solat Maghrib
  3. Makan secara seimbang, sederhana & pelbagai
  4. Hadkan makanan & minuman manis
  5. Hadkan makanan tinggi lemak & garam
  6. Minum air kosong secukupnya

Tip Membeli Juadah Di Bazar Ramadan

  1. Rancang dan bawa duit secukupnya
  2. Hadkan beli makanan/minuman yang tinggi gula
  3. Beli makanan yang seimbang bagi hidangan semasa berbuka
  4. Tambah ulam/salad sendiri bagi hidangan yang tiada sayur
  5. Pilih gerai yang bersih, makanan bertutup dan menyediakan juadah yang segar dan sihat

Tip Memilih Hidangan Moreh

  1. Pilih sumber bijirin yang tinggi kandungan serat
  2. Ambil hidangan moreh bersama dengan susu
  3. Tambahkan kekacang ke dalam hidangan
  4. Elakkan mengambil makanan tinggi garam
  5. Elakkan mengambil makanan/minuman tinggi gula
  6. Pilih buah-buahan segar berbanding kuih/manisan

 


Kekal Sihat Di Bulan Ramadan

 

Penulis: Puan Dewiana Malisa Putri bt Hafizon, Ketua Unit Pengembangan Klinikal, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan HCTM

Sumber : Pusat Maklumat Pemakanan Negeri dan Bahagian Pemakanan, KKM

Ceramah Pemakanan dan Pencegahan Diabetis di Kampong Baru Sungai Lui, Hulu Langat

27 Feb 2024

HULU LANGAT,  25 Februari 2024 (Ahad) – Jabatan Dietetik dan Sajian Makanan HCTM telah menerima jemputan memberi ceramah pemakanan dan pencegahan diabetis di Dewan Wanita Kampong Baru Sungai Lui, Hulu Langat. Ceramah bertajuk Makan Untuk Hidup Atau Hidup Untuk Makan telah disampaikan oleh Cik Nurwahidayu (Pegawai Dietetik) dengan kehadiran 35 orang tetamu yang terdiri dari penduduk Kampong Baru Sungai Lui dan penduduk sekitar. Program ini juga turut menjemput Prof. Dr. Norlaila Mustafa Pakar Perunding Endokrinologi & Perubatan, Jabatan Perubatan HCTM untuk ceramah yang bertajuk Pencegahan Diabetes. Ceramah diadakan bagi memberi kesedaran kepada penduduk terhadap pentingnya pemakanan dalam pencegahan penyakit diabetis dan cara mengawal penyakit tersebut daripada menjadi lebih teruk. Hospital Canselor Tuanku Muhriz khususnya Jabatan Dietetik dan Sajian Makanan berharap agar tetamu yang hadir dapat memperoleh ilmu yang bermanfaat untuk diaplikasikan seterusnya memberi impak positif kepada mereka.

 

Majlis Perasmian Pertandingan Mission SlimPossible MOHE 2.0

14 Feb 2024

Majlis Perasmian Pertandingan Mission SlimPossible MOHE 2.0 telah diadakan pada 7 Februari 2024 bertempat di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program pemeriksaan kesihatan ini diadakan sebanyak dua (2) kali iaitu pada hari ini dan seterusnya pada 6 Mei 2024 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program ini diketuai oleh Jabatan Perubatan Keluarga dengan dibantu Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan serta Jabatan Farmasi bertujuan mempromosi kepentingan penjagaan kesihatan kendiri serta penurunan berat badan kepada 250 kakitangan di bawah KPT. Pejabat Pengarah turut hadir selaku urusetia. Program ini menawarkan saringan pemeriksaan kesihatan percuma seperti pengukuran indeks jisim badan (BMI), ujian tekanan darah, pemeriksaan gula dalam darah dan konsultasi kesihatan. Selain itu, turut diadakan forum kesihatan berkaitan Gaya Hidup Sihat yang disampaikan oleh Dr Sarah Anne Robert (Pegawai Farmasi), Encik Muhammad Azif Azizi Bin Md Noh (Pegawai Dietetik HCTM) dan Encik Mohd Amri Yahya, bekas pemain Bola Sepak Kebangsaan. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Prof. Madya Dr. Saharuddin Ahmad, Ketua Jabatan Perubatan Keluarga dan warga HCTM.

Sumber: Facebook HCTM

Search

+