Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan UKM

3 Mar 2023

Tajuk : Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan UKM
Tarikh : 01 Mac 2023
Masa : 2.30 petang
Tempat : Sukmaria HCTM

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Kerjasama Latihan Pengekodan International Classification of Disease 11th Version (ICD-11). Majlis disempurnakan dengan ucapan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Pro Naib Canselor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia atas kerjasama dengan UKM. Melalui memorandum persefahaman ini ianya mampu memperkukuhkan lagi usahasama antara KKM dan UKM melalui Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengkodan Klinikal (ITCC) HCTM dalam memartabatkan bidang pengekodan klinikal di negara ini.

Latihan Pengekodan International Classification of Diseases 11th Version atau lebih dikenali sebagai ICD-11 adalah bahasa yang seragam digunakan di seluruh dunia yang berkait dengan diagnosis, prosedur dan juga punca kematian. Istilah klinikal yang telah dikod menggunakan ICD menjadi asas kepada penghasilan data pesakit yang bermakna. Data ini seterusnya boleh dimanfaatkan bagi penghasilan statistik untuk menyokong pengurusan sumber dengan lebih objektif, peningkatan kualiti pentadbiran serta perkhidmatan kesihatan dan pemangkin kajian perubatan.

Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) KKM, YBrs. Dr. Enna Mohd Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan, KKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM, Prof. Madya Dr. Azimatun Noor Aizuddin, Ketua Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal, HCTM, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan UKM.

Search

+