
Jabatan Radiologi, adalah salah sebuah jabatan klinikal yang terdapat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula beroperasi sejak bulan Julai tahun 1997. Jabatan ini terletak di aras bawah blok klinikal, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras Kuala Lumpur.
Jabatan Radiologi berperanan untuk memberi perkhidmatan radiologi yang bernilai diagnostik di samping mengamalkan perlindungan radiasi berdasarkan Prinsip ALARA (As Low As Reasonably Achievable) kepada pelanggan dan kakitangan. Perkhidmatan yang disediakan adalah merangkumi perkhidmatan radiografi am dan radiografi khusus. Jabatan ini sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan 24 jam kepada pesakit terutamanya bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan perawatan segera dan kritikal.
Unit-unit Jabatan
Terdiri daripada 14 unit perkhidmatan yang memberi perkhidmatan kepada pesakit dalam dan luar. Di samping itu, jabatan ini juga memberikan perkhidmatan rundingan radiologi, nasihat klinikal dan persidangan radiologi bersama jabatan lain di HCTM UKM yang memerlukan khidmat rundingan.
Jabatan Radiologi beriltizam memberi perkhidmatan radiologi yang berkualiti, selamat, berorientasikan pesakit, efisien dan kos efektif. Membudayakan pembelajaran perubatan berterusan, beraspirasi menjadi jabatan yang terkehadapan dalam pendidikan radiologi, penyelidikan dan menjadi Pusat Kecemerlangan yang mempunyai peralatan pengimejan diagnostik tercanggih dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti seiring dengan misi dan visi HCTM dan UKM.
Untuk memastikan misi dan visi ini tercapai, Jabatan Radiologi sentiasa berusaha untuk mengekalkan objektif kualiti jabatan berada di tahap yang optimum. Bagi memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sentiasa dipantau:
- Masa pesakit menunggu untuk menjalani pemeriksaan x-ray dalam tempoh 1 jam tidak kurang dari 95%.
- 90% laporan pemeriksaan khusus dikeluarkan dalam masa 2 hari bekerja bagi pesakit dalam dan 7 hari bagi pesakit luar.
Jabatan beriltizam untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi prestasi pencapaian agar perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti dan bertepatan dengan piagam pelanggan.
Jabatan juga sentiasa komited dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan HCTM. SPK yang diamalkan adalah berlandaskan kepada MS ISO 9001:2015 dan juga lain-lain SPK bagi memenuhi standard kualiti yang ditetapkan:
- Mewujudkan 12 prosedur utama yang memenuhi standard MS ISO 9001:2015 dan diimplementasikan kepada 14 unit perkhidmatan yang berada di bawah pengurusan Jabatan Radiologi.
- Mewujudkan polisi latihan lanjutan secara komprehensif untuk kakitangan.
- Mengekalkan pengiktirafan dalam pensijilan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).
- Mengekalkan pengiktirafan dalam pensijilan Program 5S.
Jabatan Radiologi menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan mempunyai banyak modaliti yang berteknologi tinggi dan tercanggih:
- Hybrid Angiography (Intervensi) – mempunyai kemudahan seperti Dewan Bedah yang memaparkan imej 3D dan membolehkan kes-kes pembedahan minor dilakukan.
- Digital X-ray radiografi Digital Siemens YSIO – Berkeupayaan dual-robotic x-ray system. Merupakan model mesin x-ray digital yang pertama di Asia dan kedua di dunia.
- Prosedur Proctogram di Unit Fluroskopi – HCTM adalah satu-satunya hospital kerajaan di Malaysia yang menjalankan prosedur tersebut.
- MRI 3 Tesla GE Hiro – modaliti MRI 3 Tesla tercanggih di Malaysia dan amat berguna dalam pengimejan neuro dan kefungsian otak.
- CBCT (cone beam CT Scan) – pengimejan pergigian dalam bentuk 3D untuk pembedahan rekonstruktif intraoral.
- Jabatan Radiologi HCTM merupakan hospital pertama di Malaysia yang membangunkan Sistem Radiologi Information secara dalaman.
Unit-unit klinikal Jabatan Radiologi
- Unit Radiografi Am
- Radiografi Mudahgerak
- Unit Pengimejan Payudara
- Unit CT Scan
- Unit MRI (Magnetic Resonance Imaging)
- Unit Ultrasound
- Unit Fluroskopi
- Unit Intervensi (Angiografi)
- Unit PACS dan 3D lab
- Unit Pengimejan Dental
- Unit Pengimejan Kardiovaskular
- Unit Pengimejan Endoskopi
- Unit Pengimejan Dewan Bedah
- Unit Pengimejan DEXA

Unit-unit pentadbiran dan pengajaran Jabatan Radiologi
- Unit Pentadbiran
- Unit Fizik Perubatan
- Unit Pengurusan Penyelidikan