SAMBUTAN HARI WARGA EMAS SEDUNIA PERINGKAT HCTM
Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM telah diadakan pada 18 Oktober 2024 lalu di Lobi Utama HCTM. Program ini merupakan penganjuran kali ketiga diadakan dan merupakan sebahagian daripada matlamat Unit Geriatrik, Jabatan Perubatan HCTM untuk mendidik orang awam tentang kesihatan warga emas serta berkongsi pengalaman dan informasi yang berpatutan. Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Meraikan Penuaan’.
Keterlibatan pelajar-pelajar Persatuan Mahasiswa Fakulti Perubatan UKM (PERSIAP) sebagai sebahagian penganjur pada kali ini telah memupuk tanggungjawab sosial korporat dan semangat menyantuni warga emas di sekeliling kita. Program yang berlangsung selama lima jam ini telah dirasmikan oleh Pengarah HCTM, Dato’ Dr Azmi Baharudin. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Perubatan, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya. Antara tetamu jemputan yang hadir adalah ketua-ketua jabatan iaitu Puan Michelle Tan Hwee Pheng (Farmasi), Puan Intan Nurhaila Meor Safari (Kerja Sosial Perubatan) dan Puan Rohana Mukahar (Perkhidmatan Pemulihan Perubatan).
Aktiviti sambutan yang padat ini dimeriahkan dengan sesi regangan badan yang sesuai untuk warga emas, dua ceramah kesihatan berjudul “Amalan bagi Menguatkan Kekuatan Minda Warga Emas” serta “Penjagaan Warga Emas Yang Berkualiti”. Ceramah-ceramah ini bertujuan untuk berkongsi tips-tips serta nasihat penting kepada penjaga serta warga emas yang turut menjadi peserta pada hari tersebut.
Aktiviti seperti cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan serta pameran reruai kesihatan daripada jabatan-jabatan Farmasi, Dietetik, Kejururawatan, Terapi Cara Kerja dan Kerja Sosial Perubatan amatlah bermanfaat bagi pengunjung yang hadir ke program ini. Persembahan nyanyian daripada pelajar-pelajar perubatan UKM (kumpulan KUPAST) amat menghiburkan peserta-peserta yang hadir. Para peserta dari kalangan staf HCTM yang hadir turut memeriahkan program ini.
Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan mencapai objektif yang ditujukan kepada kumpulan sasar.
