Tahniah YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff dan Pasukan
Modified UKM Internal Brace (MUIB) yang merupakan inovasi syarikat pemula Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – KL Orthosports Sdn Bhd – telah memperoleh hak perlesenan inovasi milik UKM, membolehkan ia dikomersialkan dan dimanfaatkan secara meluas.
Inovasi MUIB membolehkan pesakit kembali aktif dan mencapai prestasi seperti sediakala selepas pembedahan rekonstruksi ligamen.
Acara simbolik penyerahan hak perlesenan MUIB disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif KL Orthosports Sdn. Bhd., Prof. Madya Dato’ Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff.
Pada majlis yang sama, turut berlangsung sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara KL Orthosports Sdn Bhd dan syarikat peranti perubatan ortopedik tempatan, Evo Med Sdn Bhd bagi menyediakan latihan khusus untuk pakar ortopedik menjalankan pembedahan penggantian rekonstruksi ligament ACL/PCL lutut serta penyediaan geraf inovasi MUIB.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bantuan geran kewangan berjumlah RM171,200 oleh SME Corp kepada KL Orthosports melalui Program Ekosistem Inklusif (i-SEE).
Hadir sama, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Hirwani Wan Hussain yang menjalankan fungsi Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi(INOVASI@UKM); Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar dan Pengurus Perniagaan Evomed Sdn. Bhd., Khairul Anuar Abu Bakar.
