Lawatan Delegasi Daripada World Intellectual Property Organization (WIPO) Bersama Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

29 Sep 2025
Rakaman lensa lawatan delegasi daripada World Intellectual Property Organization (WIPO) bersama Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung pada, 23 September 2025 (Selasa) bertempat di Bilik Bincang Unit Hasil, Jabatan Kewangan.
Lawatan ini telah disertai oleh seramai 12 orang wakil daripada WIPO dan MyIPO. Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pengarah WIPO, Encik Daren Tang, bersama-sama Encik Hasan Kleib, Timbalan Ketua Pengarah WIPO; Encik Andrew Michael Ong, Pengarah Bahagian Asia dan Pasifik WIPO; serta wakil daripada MyIPO iaitu Puan Yusnieza Syarmila Yusoff, Ketua Pengarah MyIPO; Tn. Sh. Ariffin, Timbalan Ketua Pengarah MyIPO; dan Dr. Kamarul Faizal, Timbalan Ketua Pengarah MyIPO (Komersial). Turut serta ialah seorang wakil daripada Delegasi ASEAN, iaitu Puan Nur Amni Izzati binti Ahmad Nazam.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkukuh hubungan serta memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan WIPO dalam bidang harta intelek dan inovasi, sekali gus membuka ruang kolaborasi yang lebih erat pada masa hadapan. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan meninjau syarikat pemula UKM, iaitu MyB Innovation Sdn Bhd, yang telah terpilih sebagai salah satu syarikat di ASEAN dan satu-satunya syarikat dari Malaysia bagi menyertai projek berprestij ‘WIPO Patent Analytics Project for ASEAN Company’.
Delegasi pelawat telah disambut dengan penuh penghormatan oleh YBhg. Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim, yang mewakili Dekan Fakulti Perubatan UKM, bersama-sama YBhg. Mejar Bersekutu (PA) Prof. Dr. Mohd Yazid Bajuri. Kehadiran delegasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem inovasi serta pembangunan harta intelek di peringkat nasional dan antarabangsa.

Search

+