Perutusan Naib Canselor UKM untuk 45 Tahun UKM

28 May 2015

datuknoorazlanAssalamualaikum dan salam sejahtera Warga UKM,

Selamat menyambut ulang tahun ke 45 Universiti Kebangsaan Malaysia.

Marilah kita semua mensyukuri penubuhan universiti yang kita cintai ini. Marilah kita menanam azam setinggi gunung untuk terus memberi yang terbaik bagi menjulang nama baik universiti ini.

18 Mei, 1970, impian segenap lapisan masyarakat dijelmakan. Gegaran penubuhan UKM terasa diseluruh pelusuk negara. Tidak dapat digarab dengan perkataan apa yang terdetik di sanubari setiap rakyat disaat penubuhan UKM 45 tahun yang lalu. Harapan yang begitu tinggi. Hampir separuh isi rumah negara pada ketika itu masih bergelumang dengan kemiskinan, mengharapkan kehidupan yang lebih selesa. Malaysia meletakkan harapan yang tinggi keatas UKM untuk mencorakkan masa depan negara. Membina kesarjanaan yang memanfaatkan semua.

Warga UKM yang saya hormati, marilah kita mendukung citra penubuhan universiti ini, menjadi Pendaulat Amanah Negara. Universiti yang membawa negara ini dan rakyatnya maju kehadapan dengan kersarjanaan yang disegani dan dihormati. Universiti yang Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan yang gemilang untuk semua.

Ukurlah kejayaan kita merealisasikan amanah dan misi ini dalam setiap tindakan kita. Sejauh mana amanah negara telah kita tunaikan? Sebanyak manakah harapan yang telah kita ilhamkan? Apakah masa depan yang telah kita ciptakan? Ini tanggungjawab kita semua yang bergelar Warga UKM. Bukan calang-calang amanah dan misi yang kita dukung. Berat sekali, namun insyaAllah dapat kita tunaikan kiranya kita laksanakan bersama.

45 tahun telah mendewasakan UKM. Amanah dan harapan negara perlu ditafsir seiring dengan cabaran semasa dan mendatang. Tahap sosio-ekonomi yang lebih tinggi, keperluan dan kehendak masyarakat yang lebih canggih, lanskap persekitaran dan persaingan yang lebih getir memerlukan kita semua bersedia dan berani untuk membuat perubahan dan memikul tanggungjawab baru yang umumnya lebih mencabar.

Banyak kelaziman yang terbina perlu dinilai dan dicorakkan semula. Kita mesti memastikan UKM terus relevan, dirujuk dan dihormati kewibawaannya. Menjadi pencetus, peneraju dan pendorong untuk seluruh negara berganjak ke era pembangunan yang baru.

Kekuatan setiap warga perlu digembeling bersama sebanyak yang mungkin. Kita perlu tingkatkan integrasi ilmu, kepakaran dan kesarjanaan merentasi disiplin bagi mencipta penyelesaian yang bermakna dan tawaran yang bernilai tinggi. Kita perlu struktur pengoperasian yang menggalakkan integrasi ini. Kita mesti meletakkan penghasilan impak yang tinggi untuk semua pemegang taruh. Mencabar kelaziman secara sistematik dengan daya inovasi dan kreativiti yang tinggi perlu menjadi lumrah dikalangan kita. Enam (6) keberhasilan strategik yang digariskan menjadi teras kepada tindakan-tindakan kita.

Sama-samalah kita menjayakan universiti ini. Kepada Allah SWT kita berharap dan mendoakan agar UKM terus berdiri gagah, cemerlang dan memberi manfaat kepada semua.

Terima kasih dan salam saya pada semua Warga UKM, yang dahulu dan semasa. Selamat menyambut ulang tahun ke 45 UKM. Semoga diberkati Allah SWT semuanya.

Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

+
Font Resize
Contrast