Program Bersama Warga Emas Hulu Langat

10 Aug 2015

5 Ogos 2015 (RABU) – Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri masih terasa bahangnya sementelah sambutannya berlangsung selama sebulan. Di sana sini majlis sambutan diadakan tak kira siang malam meraikan kemenangan umat Islam memerangi nafsu sepanjang Ramadhan. Situasi sebegini tentu sekali menyukarkan sesiapa pun untuk mengekalkan tahap kesihatan diri terutamanya kepada golongan warga emas.

Menyedari hakikat ini, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) HCTM PPUKM bersama Jabatan Kesihatan Masyarakat mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada golongan ini. Bertempat di Pusat Tahfiz Nurul Huda Batu 13 Hulu Langat, yang merupakan pusat aktiviti Persatuan Warga Emas Hulu Langat, satu program pencerahan dan penyampaian ilmu “Kekal Sihat Selepasa AidilFitri” telah diadakan.

Melalui program ini, para warga emas diberi tunjuk ajar langkah dan kaedah yang betul dan tepat bagaimana untuk memulakan semula aktiviti-aktiviti fizikal yang telah tertangguh sepanjang Ramadhan dan Syawal. Taklimat disampaikan oleh Encik Muhamad Khaidir Ismail, Penolong Pegawai Belia & Sukan JKM.

Selain itu, turut diadakan adalah sesi penerangan dan mempromosi Sukarelawan HCTM yang telah disampaikan oleh Puan Hanuzah Omar, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan HCTM.

Oleh: Rodzaini Sabran, Jabatan Kesihatan Masyarakat

Search

+
Font Resize
Contrast