Majlis Perasmian UKMMC-SAMSUNG SONO School dan Pertukaran MoA UKM-SAMSUNG

17 Nov 2015

CHERAS, 17 November 2015 – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah menubuhkan Sekolah SONO PPUKM-Samsung, dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. bertujuan untuk membantu pengamal-pengamal perubatan di Malaysia meningkatkan kemahiran yang berkaitan dengan bidang ultrasound. Pelancaran sekolah ini telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut hadir dalam majlis ini adalah YBhg Prof. Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM dan Dato’ Roh Jae Yeol, Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia Electronics.

Sekolah SONO PPUKM-Samsung bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin untuk menggalakkan pendidikan yang berterusan, tetapi juga menandakan satu titik permulaan baharu penjagaan pesakit dengan kepakaran dan subkepakaran yang dipertingkatkan. Penubuhan Sekolah SONO PPUKM-Samsung adalah satu langkah untuk merealisasikan wawasan dalam meningkatkan kumpulan sonografer yang diiktiraf.

Sekolah ini menawarkan latihan kurikulum kepada pengamal perubatan yang tediri daripada doktor (yang berkelayakan dan doktor-dalam-latihan), sonografer, ahli radiologi dan pegawai-pegawai perubatan hinggalah klinisian dan juruteknik makmal di seluruh Malaysia yang akan menjadi sebahagian daripada program Pendidikan Perubatan Berterusan. Gabungan ini terdiri daripada sekurang-kurangnya satu (1) sesi latihan pada setiap suku tahun. Program ini menampilkan kombinasi sesi kuliah dan amali dengan 30 pelajar bagi setiap sesi.

Dibangunkan dengan perundingan pakar perubatan di PPUKM, kurikulum ini menawarkan latihan yang disasarkan dalam bidang Obstetrik/Ginekologi dan Radiologi, yang membolehkan pengamal perubatan meningkatkan pengetahuan mereka dalam teknologi pengimejan perubatan dan kemahiran diagnostik. Untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran, Samsung telah menyediakan peralatan perubatan yang khusus seperti ultrasound Samsung WS80A Elite OB/GYN dan ultrasound Samsung RS80A Prestige Radiology ultrasound untuk latihan.

Bercakap mengenai matlamat PPUKM untuk menjadi hab perubatan terulung di Malaysia, Prof. Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM berkata, “Sebagai salah satu hospital pendidikan negara yang utama dan terkemuka, penubuhan Sekolah SONO di PPUKM memberikan potensi yang besar untuk memanfaatkan kemahiran dan teknik penyelidikan perubatan, mengaplikasikannya untuk penyelesaian yang inovatif serta praktikal dan akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan kemahiran yang betul, para profesional perubatan akan lebih menyesuaikan diri dengan keperluan pesakit, menyediakan diagnostik yang tepat pada masa sebenar yang akan membawa kepada penilaian lebih baik, masa menunggu pesakit lebih singkat dan meningkatkan keberkesanan rawatan.”

Sekolah SONO PPUKM-Samsung terletak di Advanced Surgical Skills Centre yang berfungsi sebagai hab bagi latihan dan bengkel kepakaran dalam usahasama dengan organisasi yang berpengetahuan dalam perubatan khusus. Penubuhannya adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat Global Samsung dalam bidang utama Kesihatan & Perubatan yang menyediakan peningkatan dalam kepakaran perubatan dan kesihatan, untuk manfaat masyarakat setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

+
Font Resize
Contrast