Karnival Kesihatan Warga Emas dan Keusahawanan Sosial

5 May 2015

5 Mei 2015 (SELASA) – Dengan hasrat untuk terus kehadapan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM sentiasa mencari kesempatan merapati komuniti di pinggir dan luar bandar. Terkini, JKM buat pertama kalinya berkolaborasi dengan UKM CESMED (Laureate UKM 2013) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM telah menganjurkan Karnival Kesihatan Warga Emas dan Keusahawanan Sosial.

Bertempat di Pusat Latihan Kesihatan Masyarakat UKM Beranang, berbagai aktiviti telah dijalankan dalam karnival setengah hari yang diadakan pada 26 April 2015 lalu. Antaranya sukaneka, sukaneka intergrasi, saringan kesihatan oleh para pelajar Perubatan Tahun 3, pemeriksaan pap smear oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), pemeriksaan mata oleh Jabatan Oftalmologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz PPUKM, pertandingan futsal, mewarna dan melukis, demonstrasi memadam api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Semenyih, ceramah-ceramah kesihatan dan keusahawanan, gerai-gerai jualan serta cabutan bertuah. Paling menarik, selain acara persahabatan tarik tali antara penduduk Kampung Batu Rembau dan para pelajar perubatan Tahun 3 yang menjadi tumpuan pengunjung turut dihiburkan oleh artis-artis veteren seperti Qismah Johari, Normah Damanhuri, Jaafar Onn dan lain-lain.

Program ini yang memfokuskan kepada remaja dan warga emas telah berjaya mendekatkan masyarakat dengan UKM bagi tujuan penyaringan tahap kesihatan, peningkatan pengetahuan dalam penjagaan kesihatan serta merancang penglibatan aktiviti penjagaan kesihatan melalui kerjasama pintar. Hampir 500 orang pengunjung hadir sepanjang karnival ini yang terdiri dari ahli-ahli Persatuan Warga Emas Hulu Langat, Kelab Warga Emas Beranang, Yayasan Artis Veteren Malaysia serta penduduk dan pemimpin-pemimpin masyarakat kampung-kampung Mukim Beranang. Turut sama memeriahkan Pengarah UKM CESMED, Yang Berbahagia Prof. Madya Datin Dr. Shamshubaridah Ramlee, pensyarah-pensyarah dan kakitangan JKM, UKM CESMED dan FSSK.

Karnival dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Yang Berbahagia Profesor Dr. Imran Ho Abdullah. Turut hadir, isteri kepada ADUN Semenyih, Datin Hajjah Norsiah Ismail yang kemudiannya merasmikan Trek Senaman Berinfomasi PULAKEM.

Oleh: Rodzaini Sabran, Jabatan Kesihatan Masyarakat
Foto:  Unit Fotografi, Jabatan Multimedia Penyiaran

Search

+
Font Resize
Contrast