Golf Amal Tabung Kebajikan Pesakit HCTM

21 Oct 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Hang Jebat Mukhtar Affandi

NILAI, 19 Oktober 2019 – Seramai 104 peserta telah menyertai Pertandingan Golf Amal Tabung Kebajikan Pesakit HCTM anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Pertandingan yang diadakan di Kelab Golf & Country Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan dibahagikan kepada dua kejohanan iaitu Kejohanan Golf Fakulti Perubatan Malaysia, Piala Dato’ Dr. Mahmud Mohd Nor dan Kejohanan Golf Persahabatan HCTM, Piala Dato’ Lokman Saim yang dinaungi oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti,Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Objektif utama penganjuran Golf Amal ini adalah untuk menambah dana Tabung Kebajikan Pesakit HCTM. Tabung yang ditubuhkan pada tahun 2000 bertujuan untuk membantu pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan membiayai kos rawatan dan pemulihan di HCTM. Setiap tahun, dana yang diperlukan untuk membantu pesakit dianggarkan sebanyak RM 3 juta dan tabung ini telah berjaya membantu lebih daripada 4000 orang pesakit yang amat memerlukan. Melalui program ini sebanyak RM70,000 telah berjaya dikumpul dari lebih 40 penyumbang yang terdiri daripada pelbagai agensi, syarikat, dan individu seperti Bank Simpanan Nasional, Elquest Medident Sdn. Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, TG Boulevard Sdn. Bhd, BBraun, Maxis, Alam Medik Sdn Bhd, Hotel Everly Putrajaya, dan lain-lain.

Majlis Penutup Pertandingan Golf Amal telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, wakil Pro Naib Canselor KKL UKM yang juga selaku Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Turut hadir dalam majlis Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Golf Amal Tabung Kebajikan Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Golf Antara Fakulti Perubatan Malaysia, Prof. (K) Dr. Jaafar Md Zain Pengerusi Pertandingan Golf Amal Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Berucap dalam majlis penutup pertandingan Golf Amal, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta yang menyertai kejohanan. Selain menambah dana Tabung Kebajikan Pesakit HCTM, penganjuran aktiviti ini dapat merapatkan silaturahim, berbincang, dan bertukar-tukar pandangan antara ahli akademik dari pelbagai peringkat IPTA dan IPTS di negara ini. Beliau berharap aktiviti ini dapat diteruskan dari masa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

+
Font Resize
Contrast