Rumah Ronald McDonald Pertama di Asia Sambut Ulangtahun Ke-20

29 Aug 2019

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 27 Ogos 2019 – Rumah Ronald McDonald (RRM) yang pertama di Asia, yang terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyambut ulang tahun ke-20 baru-baru ini.

Sambutan ulang tahun itu telah diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Apa yang menariknya ialah pada 20 tahun lepas, Tun Dr Siti Hasmah adalah tetamu kehormat yang hadir membuat penyerahan RRM kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini disebut HCTM).

Dalam ucapannya, Tun Dr Siti Hasmah berkata, beliau amat berbangga dengan komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan HCTM dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik untuk berada dekat dengan anak-anak yang menjalani rawatan.

“Jangka masa 20 tahun bukanlah tempoh singkat. Saya terharu dengan komitmen dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak untuk memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama ibu bapa dan pesakit untuk sambutan kali ini… Kita perlulah berjuta-juta kali bersyukur kerana masih ada golongan yang memikirkan untuk membantu keluarga yang tidak bernasib baik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ke-20 RRM-HCTM, baru-baru ini.

Katanya, syarikat korporat perlu lebih banyak memberi sumbangan dalam menyediakan rumah penginapan di hospital bagi meringankan beban keluarga pesakit yang menjalani rawatan.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sanggup menyediakan kemudahan ini tanpa penat dan lelah kerana usaha ini boleh mendatangkan manfaat dan keselesaan kepada mereka yang sakit.

“Ibu bapa juga perlu bersyukur kerana ada golongan seperti ini yang sudi memberi khidmat ketika keluarga berusaha untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan anak mereka sihat kembali,” katanya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata, RRM menyediakan penginapan beserta fasiliti dan kemudahan asas kepada penghuni dengan kadar bayaran yang sangat minima.

“Selain RRM, HCTM juga menyediakan Rumah Perantaraan Seri Labuan (RPSL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menyediakan sebanyak sembilan buah rumah di Bandar Tun Razak.

“Bezanya, RRM adalah untuk pesakit pediatrik manakala RPSL boleh dipohon oleh semua kategori pesakit,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana RRM HCTM adalah rumah penginapan pertama seumpamanya di Asia dan telah kekal sehingga kini serta menjadi satu nilai tambah dalam perkhidmatan yang disediakan oleh HCTM.

RRM HCTM ditubuhkan pada tahun 1999 oleh RMHC Malaysia dengan tujuan untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM dan hospital-hospital berdekatan.

Sejak ditubuhkan, seramai 1,300 pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di HCTM-UKM sudah menginap di kediaman tersebut.

Bayaran penginapan dikenakan hanyalah RM5 untuk satu malam dan mampu memuatkan 19 keluarga pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan disediakan.

 

Bingkisan Syawal Tanda Keprihatinan HCTM Kepada Pesakit

30 May 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim

CHERAS, 28 Mei 2019 – Program Bingkisan Syawal 1440H anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada pukul 2.00 petang di Wad Pediatrik 4D, Tingkat 4, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Sumbangan berupa 360 goodie bag dan wang tunai telah diberikan kepada para pesakit di wad perubatan, wad surgeri, dan wad warga. Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan pengurusan HCTM UKM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (KKL UKM) yang akan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Sumbangan tersebut telah ditaja oleh Ronald McDonald House Charity (RHMC), Jabatan Bendahari KKL, dan Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik HCTM.

Hadir dalam program Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, timbalan-timbalan pengarah KKL dan HCTM, En. Azhari bin Abd Taharim, Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ronald McDonald dan Pn. Shazana Yeoh binti Abdullah, RMHC Malaysia.

Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia Peringkat HCTM UKM 2019

19 Apr 2019

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Hafizah Mohamad Isa

Cheras, 17 April 2019 – Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HCTM UKM telah menganjurkan Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia Peringkat HCTM UKM pada hari ini di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, UKM. Turut hadir termasuklah  Puan Suraiyah Harun, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan.

Program ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan jaringan kerjasama antara hospital dengan pelbagai agensi bantuan dalam usaha HCTM untuk membantu kefungsian sosial pesakit dan keluarga yang memerlukannya. Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) berperanan memberikan perkhidmatan psikososial kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di HCTM, UKM. Perkhidmatan yang diberikan meliputi penilaian psikososial atau sosioekonomi, perundingan kemudahan komuniti,  intervensi krisis, dan rujukan ke sumber komuniti bagi  bantuan  praktikal.

Majlis penghargaan dan penyampaian sijil kepada para wakil NGO di sekitar Lembah Klang yang aktif dalam aktiviti kerja sosial bersama pihak HCTM turut diadakan. Pihak Ronald McDonald Children Charities (RMCC) juga telah menyampaikan sumbangan dua (2) buah kerusi roda kepada HCTM.

Majlis kali ini turut mengadakan forum bertajuk Sokongan Sosial Pesakit Dalam Penjagaan Kesihatan – Antara Peranan, Isu, Cabaran dan Harapan dan dipengerusikan oleh Prof.Dr. Sharifah Ezat Wan Putih, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan0 Fakulti Perubatan UKM dan panel bagi forum tersebut adalah Dr. Suhaimi Mohamad (UKM), Tuan Haji Mohiadin Bahado (Wakil NGO) dan Encik Kuan Chee Heng @ Uncle Kentang (Aktivis sosial). Selain itu, banyak aktiviti yang diadakan termasuklah booth pameran turut dibuka kepada orang ramai untuk dilawati dan mendapatkan perkhidmatan.

Lawatan Polis Kuala Lumpur Ke HCTM UKM Bersempena Sambutan Hari Polis Ke-212

9 Apr 2019

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Noorashikin yusof

CHERAS, 27 Mac 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) menerima kunjungan daripada delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena Sambutan Hari Polis ke 212 pada hari ini bertempat di Sukmaria, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras.

Lawatan daripada PDRM ini telah disambut oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Puan Suraiyah Harun, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan beberapa pegawai pengurusan.

Rombongan PDRM pula, di ketuai oleh YDH. SAC. Tuan Rusdi Mohd Isa, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, PDRM, para pengawai kanan PDRM dan HCTM dan Delegasi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) serta warga kerja PDRM IPD, Cheras Kuala Lumpur.

Program seperti ini telah diadakan setiap tahun dan memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama di antara kakitangan HCTM dengan PDRM serta membantu pesakit yang sedang menerima rawatan di HCTM serta golongan yang kurang bernasib baik khususnya dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Pihak PDRM berpeluang melawat para pesakit serta menyumbangkan cenderamata di Wad Orthopedik HCTM UKM. Di samping itu, PDRM juga memberikan sumbangan 5 unit kerusi roda dan 5 unit tongkat kaki kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HCTM UKM (JKSP).

TEMANITA 2019 meraikan Sambutan Hari Wanita Sedunia Di HCTM UKM

25 Mar 2019

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Norhayati Md Raji

CHERAS, 16 Mac 2019 – Program TEMANITA 2019 anjuran Jabatan Surgeri HCTM UKM telah disambut bersama sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun. Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, penaung TEMAN UKM pada pagi ini.

Turut bersama ke program tersebut adalah Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan UKM.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Noor Aziah, Hari Wanita Sedunia telah diiktiraf secara global untuk memberi kesedaran dan pemahaman bahawa setiap wanita layak diberi penghargaan dalam meraikan pencapaian sosial, ekonomi, kebudayaan dan politik mereka. Beliau juga berharap semoga kumpulan sokongan TEMAN akan terus menyumbang khidmat bakti kepada para pesakit khususnya dan masyarakat secara amnya.

Peranan TEMAN kepada masyarakat bukan hanya memfokuskan kepada sesi perkongsian ilmu, ceramah umum dan motivasi tetapi berperanan sebagai badan bertindak yang mengadakan beberapa aktiviti santai bersama pesakit-pesakit.

Beberapa aktiviti – aktiviti yang sering dianjurkan adalah seperti riadah luar dan melihat alam flora iaitu TEMAN Nature Walk yang telah dijalankan di INBIOSIS, UKM Bangi, aktiviti sosial seperti TEMAN Raya semasa sambutan perayaan Aidilfirtri, aktiviti sukan santai iaitu TEMAN Superbowl Bowl Your Blues Away dan aktiviti-aktiviti sokongan yang lain.

Penganjuran program – program seumpama ini dalam membantu dan memberi sokongan kepada pesakit-pesakit barah payudara di HCTM.

Program pada kali ini menyediakan beberapa aktiviti seperti siri ceramah, forum, cabutan bertuah, pameran, booth jualan dan sebagainya. Sebanyak 300 peserta telah menyertai program ini dan terdiri daripada kakitangan Kampus Kuala Lumpur UKM, Ahli Jawatankuasa TEMAN, pesaki- pesakit, waris dan sukarelawan turut serta menyertai program ini.

PROGRAM: Sambutan Hari Anestesia Peringkat Kebangsaan 2018

24 Oct 2018

CHERAS, 20 Oktober 2018 – Sempena Hari Anestesia Sedunia 2018, Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM dengan kerjasama Malaysian Society of Anaesthesiologists (MSA) menganjurkan Sambutan Hari Anestesia Peringkat Kebangsaan 2018 di Bangunan Praklinikal, Kampus KL UKM, Cheras.

Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran sambutan Hari Anestesia peringkat kebangsaan pada tahun ini. Bertemakan ‘The Right Stuff’, penganjur mengetengahkan kepakaran anestesiologi dalam memberikan pembiusan yang selamat kepada pesakit dengan menggunakan peralatan terkini serta memberi penekanan kepada kemajuan peralatan penyambung nyawa atau life-saving equipment yang penting dalam rawatan pesakit ICU.

Sambutan ini telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, wakil Naib Canselor UKM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berbangga dengan kehebatan pembedahan-pembedahan rumit berskala besar yang dilaksanakan di HCTM dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama pakar bedah dan pakar anestesiologi dengan seliaan dan pengetahuan tinggi yang menjadi tulang belakang bagi memastikan denyut nadi pesakit berterusan. Turut hadir dalam perasmian ini ialah Dato’ Dr. Jahizah Hassan, President Malaysian Society of Anesthesiologist, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad, wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Raha Abdul Rahman, Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif HCTM, Dr. Ravinthiran Rasiah, President College Of Anesthesiologist Malaysia.

Majlis perasmian ini turut melancarkan Buku Tahunan Malaysian Society of Anaesthesiologists 2017-2018, serta mengumumkan pemenang-pemenang Anaesthesia Superheroes Challenge – Video Competition dan Pertandingan Wefie Anaesthesia #TheRightStuff.

PROGRAM: Physiotherapy Charity Run 2018 ‘Run With Golden Age’

15 Oct 2018

CHERAS, 13 Oktober 2018 – Julung kalinya bersempena dengan Hari Sukan Negara yang di isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober dan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia yang jatuh pada 1 Oktober setiap tahun, Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM, menganjurkan Physiotherapy Charity Run 2018 : Run With Golden Age pada 13 Oktober 2018 (Sabtu) bertempat perkarangan Institut Perubatan Molekul (UMBI), Kampus KL UKM.

Program ini dijalankan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan bersukan dan warga emas ini mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Kesihatan Masyarakat, PPUKM. Objektif penganjuran larian adalah untuk mempromosikan perkhidmatan dan peranan Unit Fisioterapi kepada orang awam, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat secara santai, serta mengumpul dana bagi tujuan menaiktaraf perkhidmatan Unit Fisioterapi.

Seramai 491 orang peserta daripada pelbagai peringkat umur dengan dua kategori larian iaitu Terbuka Telaki dan Terbuka Perempuan. Larian sejauh 5 km bermula dari Perkarangan Bangunan UMBI Cheras melalui laluan di Taman Rekreasi Tasik Permaisuri dan berakhir di Perkarangan Bangunan UMBI semula. Para peserta memulakan larian pada jam 7.30 pagi dan peserta pertama yang sampai ke garisan penamat kategori lelaki ialah En. Sivaneshwaran A/L Gunasegaran dengan catatan masa 17 minit 14 saat. Manakala kategori wanita pula dimenangi oleh Nurliana Mohd Rusni dengan catatan masa 25 minit 12 saat.

Selain daripada acara larian, aktiviti saringan kesihatan juga turut diadakan untuk peserta yang hadir. Sesi dialog bersama pakar untuk warga emas dan gerai jualan juga turut dibuka. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah menyempurnakan acara pelepasan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir Puan Rohana Mukahar, Ketua Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Cik Zunaidah Abu Samah, Ketua Unit Fisioterapi dan Encik Nahiz Waridi Adnan, Pengarah Program Physiotherapy Charity Run 2018.

LAWATAN KHIDMAT MASYARAKAT SINGER (M) KE WAD PEDIATRIK

21 Aug 2018

CHERAS, 9 Ogos 2018 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Kampus Kuala Lumpur telah menerima kunjungan daripada Singer (M) Sdn Bhd Cawangan Wilayah Central Region. Wakil Pengurus Singer Cawangan Wilayah, Encik Prabakaran Nair bersama dengan 10 orang kakitangan Singer telah hadir ke Wad Pediatrik HCTM di Tingkat 4 untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanak-kanak.

Sempena Ulangtahun Singer(M) yang ke-112, sebanyak 112 ekor anak patung beruang yang dijahit sendiri telah disumbangkan kepada semua pesakit kanak-kanak di wad berkenaan. Selain itu, Singer juga turut menyumbangkan beberapa peralatan elektrik untuk keperluan wad dan jabatan Pediatrik. Kehadiran pihak Singer telah memberikan kegembiraan kepada pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di HCTM.

Turut hadir bersama dalam sesi penyampaian sumbangan ialah Profesor Madya Dr. Hasniah Abdul Latiff, Ketua Jabatan Pediatrik HCTM dan pengurus jururawat disiplin Pediatrik. Aktiviti kemasyarakatan seperti ini amat digalakkan kerana dapat memberi motivasi kepada pesakit kanak-kanak untuk terus berusaha sembuh.

 

 

 

PPUKM Physio Run 2018: Run With Golden Age

17 Aug 2018

Semua warga UKM dijemput untuk memeriahkan acara larian amal anjuran Unit Fisioterapi, PPUKM bersempena Sambutan Hari Warga Emas 2018. Acara ini merangkumi larian 5km dan menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti tapak jualan serta aktiviti saringan kesihatan.

Kategori Terbuka Lelaki dan Wanita : RM 50
Kategori Warga Emas 60 tahun ke atas : RM 40
Semua penyertaaan boleh didaftarkan ke dalam Sistem E-Khidmat.

Untuk maklumat lanjut sila layari/hubungi:
Instagram: @physiorun_ppukm
Facebook : physiorunppukm
Whatsapp: 0147200437

Tarikh Acara: 13/10/2018
Masa Acara : 6:30 pagi – 5:00 petang
Tempat : PERKARANGAN BANGUNAN UMBI PPUKM CHERAS
Url : https://www.ppukm.ukm.my/physio-run/

Lampiran: Borang Penyertaan Physio Run PPUKM 2018

1 2

Search

+
Font Resize
Contrast