Golf Amal Tabung Kebajikan Pesakit HCTM

21 Oct 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Hang Jebat Mukhtar Affandi

NILAI, 19 Oktober 2019 – Seramai 104 peserta telah menyertai Pertandingan Golf Amal Tabung Kebajikan Pesakit HCTM anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Pertandingan yang diadakan di Kelab Golf & Country Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan dibahagikan kepada dua kejohanan iaitu Kejohanan Golf Fakulti Perubatan Malaysia, Piala Dato’ Dr. Mahmud Mohd Nor dan Kejohanan Golf Persahabatan HCTM, Piala Dato’ Lokman Saim yang dinaungi oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti,Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Objektif utama penganjuran Golf Amal ini adalah untuk menambah dana Tabung Kebajikan Pesakit HCTM. Tabung yang ditubuhkan pada tahun 2000 bertujuan untuk membantu pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan membiayai kos rawatan dan pemulihan di HCTM. Setiap tahun, dana yang diperlukan untuk membantu pesakit dianggarkan sebanyak RM 3 juta dan tabung ini telah berjaya membantu lebih daripada 4000 orang pesakit yang amat memerlukan. Melalui program ini sebanyak RM70,000 telah berjaya dikumpul dari lebih 40 penyumbang yang terdiri daripada pelbagai agensi, syarikat, dan individu seperti Bank Simpanan Nasional, Elquest Medident Sdn. Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, TG Boulevard Sdn. Bhd, BBraun, Maxis, Alam Medik Sdn Bhd, Hotel Everly Putrajaya, dan lain-lain.

Majlis Penutup Pertandingan Golf Amal telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, wakil Pro Naib Canselor KKL UKM yang juga selaku Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Turut hadir dalam majlis Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Golf Amal Tabung Kebajikan Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Golf Antara Fakulti Perubatan Malaysia, Prof. (K) Dr. Jaafar Md Zain Pengerusi Pertandingan Golf Amal Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Berucap dalam majlis penutup pertandingan Golf Amal, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta yang menyertai kejohanan. Selain menambah dana Tabung Kebajikan Pesakit HCTM, penganjuran aktiviti ini dapat merapatkan silaturahim, berbincang, dan bertukar-tukar pandangan antara ahli akademik dari pelbagai peringkat IPTA dan IPTS di negara ini. Beliau berharap aktiviti ini dapat diteruskan dari masa ke semasa.

Lawatan Khidmat Masyarakat Ronald McDonald House Charity dan Mustard Seed Soup Kitchen

30 Jul 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 24 Julai 2019 – Ahli Jawatankuasa Ronald McDonald House Charity (RMHC) bersama-sama dengan Mustard Seed Soup Kitchen telah mengadakan khidmat masyarakat di Wad Pediatrik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Program ini diadakan untuk menyantuni pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Ucapan aluan ringkas telah disampaikan oleh En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah Pentadbiran HCTM.

Rombongan RMHC dan Mustard Seed Soup Kitchen telah meluangkan masa selama 2 jam di empat wad Pediatrik. Sumbangan berupa goodie bag, baucer, dan Happy Meal McDonald diberikan kepada setiap kanak-kanak di wad-wad Pediatrik. RMHC juga turut membawa maskot Ronald McDonald bagi menambah lagi keceriaan pesakit kanak-kanak. Aktiviti ini juga memberi peluang kepada delegasi beramah mesra bersama pesakit dan ibu bapa pesakit yang menemani pesakit di sisi katil. Program khidmat masyarakat ini selesai  pada jam 4.30 petang.

 

 

Majlis Sumbangan Dana daripada Yayasan UEM kepada HCTM

15 Apr 2019

Kuala Lumpur, 12 April 2019 – UEM Group melalui Yayasan UEM telah berbesar hati meyampaikan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit HCTM.  Program ini adalah satu program yang berterusan dan tahun ini adalah tahun ke 6 sumbangan diberikan kepada Tabung Kebajikan Pesakit HCTM.  Alhamdulillah pada tahun 2019 ini pihak Yayasan UEM telah meningkatkan sumbangan kepada RM500 ribu berbanding tahun sebelumnya.  Pihak Pengurusan HCTM mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan UEM atas sumbangan tersebut.  Dana yang diterima dapat dimanfaatkan bagi membantu pesakit yang berkelayakan bagi menampung kos-kos perawatan dan dengan sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga.  Semoga sumbangan ini menceriakan pesakit yang menerima rawatan.

 

Search

+
Font Resize
Contrast