Pakar Perubatan UKM Pelopori Rawatan Arthritis Lutut Guna Sel Stem Mesenkima

28 Dec 2018

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 6 Disember 2018 – Pasukan pakar bedah ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Ortopedik & Arthroskopi, Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff telah berjaya mempelopori rawatan arthritis lutut menggunakan sel stem mesenkima yang diperoleh daripada tali pusat.

Kajian sejak tahun 2016 itu membabitkan rawan sendi terbentuk semula sepenuhnya selepas setahun walaupun permukaannya tidak selicin sendi rawan asal, tanpa tanda kesan sampingan.

Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham berkata, tali pusat yang digunakan untuk rawatan tersebut adalah tali pusat yang didermakan oleh pesakit yang telah melalui saringan dan ujian darah yang tertentu bagi memastikan tisu yang diperoleh mengikut piawaian yang ditetapkan dan disahkan selamat.

“Sel stem itu akan dikulturkan dan dibiakkan di dalam makmal yang disertifikasi oleh Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan. Sel-sel tersebut kemudiannya dibawa ke HCTM untuk di masukkan ke dalam sendi lutut pesakit menggunakan kaedah intra-articular injection,” katanya.

Beliau berkata, semua pesakit dalam kajian tersebut telah menunjukkan peningkatan positif yang signifikan seawal bulan ketiga dan tidak menunjukkan tanda-tanda kesan sampingan atau permasalahan sepanjang tempoh kajian dilakukan.

“Pasukan kami bersama sebuah syarikat swasta iaitu Cytopeutics Sdn Bhd telah menyaring pesakit terlebih dahulu dan menjalankan pemeriksaan dan uji kaji makmal serta pengimejan sebelum pembedahan artoskopi lutut dilakukan.

“Sel stem akan dimasukkan ke dalam sendi lutut dan pesakit dikehendaki menjalani rawatan susulan selama 12 bulan.

“Keseluruhan proses ini disahkan sebagai patuh syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ,” jelasnya.

Ujar Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham, sebagai penyelidikan translasi klinikal yang pertama yang menggunakan sel stem alogenik ke atas pesakit dalam bidang Ortopedik di HCTM, ia telah mengorak langkah untuk lebih banyak lagi kajian klinikal seumpamanya dijalankan memandangkan aspek kesesuaian, keselamatan serta tanpa kesan mudarat telah dikenal pasti daripada hasil pemerhatian.

“Kita telah membentangkan hasil kajian ini di persidangan antarabangsa International Cartilage Repair and Regeneration Society (ICRS) Focus Meeting di Milan, Itali pada 13 dan 14 Disember tahun lalu bertemakan “I am not ready for metal“. Lebih 400 peserta dari 46 negara telah menghadiri persidangan ini.

“Kejayaan UKM membentangkan satu-satunya penyelidikan klinikal dari Malaysia amat menggembirakan pihak ICRS. Mereke meneliti perkembangan dan perkongsian hasil kajian terkini di Malaysia dan seterusnya menjemput UKM bagi menyertai rangkaian antarabangsa kumpulan penyelidik rawan artikular dan sel stem,” ujar beliau.

PROGRAM: Majlis Penyampaian Sumbangan / Tajaan Petronita Kepada Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM UKM

5 Dec 2018

CHERAS, 30 November 2018 – Sumbangan berjumlah RM 85,882.00 telah diserahkan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dalam Majlis Penyampaian Sumbangan / Tajaan Petronita kepada Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM UKM di SUKMARIAl, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Sumbangan telah disampaikan oleh Puan Azmah Azman dan Puan Lita Osman, Ketua, Unit Kebajikan Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan Petronas (PETRONITA)  kepada Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM dan Prof. Madya  Dr. Raha Abdul Rahman, Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif HCTM. Sumbangan ini akan digunakan untuk membeli tiga peralatan perubatan khas (pediatrik) iaitu satu unit Video Laryngoscope, dua unit Target Controlled Infusion Pumps dan satu unit Blanket Warming System untuk kegunaan Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif, HCTM UKM. Peralatan ini diperlukan kerana statistik pesakit kanak-kanak memerlukan pembedahan dan rawatan pediatrik semakin meningkat.

Berucap dalam majlis, Prof. Datuk. Dr A Rahman berkata beliau mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai industri, agensi luar, atau NGO dalam memberikan sumbangan sama ada melalui tabung kebajikan, endowment atau peralatan. Public-private partnership ini digalakkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. Usaha murni pihak PETRONITA dalam memastikan hubungan strategik yang baik dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, khasnya Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif dalam menjamin penyampaian dan perkhidmatan perawatan ke atas pesakit pediatrik dapat diberikan secara lebih komprehensif dan berkesan.

PROGRAM: International Day off Persons with Disabilities Public Awareness Program

5 Dec 2018

CHERAS, 29 November 2018 – International Day of Persons with Disabilities Public Awareness Program telah diadakan di Lobi Utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program ini dianjurkan oleh Unit Perubatan Rehabilitasi, Jabatan Ortopedik & Traumatologi, HCTM UKM bersama dengan Yayasan Prihatin Insan, Harry Talents Agency dan Malaysian Association of Rehabilitation Physicians (MARP). Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keperluan dan cabaran yang dialami oleh golongan orang kelainan upaya (OKU), membentuk OKU yang mandiri serta menggalakkan masyarakat Malaysia supaya menjadi masyarakat yang inklusif.

Perangkaan menunjukkan, bilangan OKU di Malaysia yang telah berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga akhir Februari 2018 adalah seramai lebih 400,000 orang. Keupayaan golongan ini di negara banyak mencipta pelbagai kejayaan walaupun memegang status OKU. Antaranya, Encik Sukur Ibrahim yang juga merupakan alumni Sarjana Muda Teknologi Maklumat UKM yang telah dianugerahkan OKU Cemerlang Kebangsaan (keusahawanan) dan memiliki sebuah syarikat pemasangan karpet dan juga merupakan seorang penceramah motivasi serta penasihat kewangan.

Program disambut dengan meriah dengan kehadiran lebih kurang 140 peserta. Antara acara-acara yang dijalankan ialah “Wheelchair Zumba” yang disertai oleh 15 orang kelainan upaya dari Kumpulan Sahabat Sokongan Rehab PPUKM (Rehab Support Group PPUKM), Forum OKU bertajuk “Living with Disabilities” dimana lima orang pesakit bersama penjaga mereka ditemuramah mengenai cabaran-cabaran hidup yang telah dilalui sebagai OKU. Peserta ‘Wheelchair Queen Pageant’ dari Harry Talents Agency juga turut serta dengan persembahan tarian dan pertunjukan fesyen yang diadakan. Peserta OKU dari Rumah Harapan Aafiyah juga turut serta membuat persembahan nyanyian dan bacaan sajak. Gerai-gerai jualan daripada pertubuhan-pertubuhan amal seperti Tasputra PERKIM, Beautiful Gate Foundation, Yayasan Prihatin Insan dan kumpulan Sahabat Sokongan PPUKM turut diadakan pada hari itu.

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali. Turut hadir ialah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Professor Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan UKM,  Professor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM,  dan Sr Hj Ishak Ismail, Pengerusi Yayasan Prihatin Insan.

PROGRAM: KERJASAMA ANTARA UKM DAN N2W CORP BAKAL MEMBANGUNKAN APLIKASI PENGURUSAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK

19 Nov 2018

CYBERJAYA, 16 Nov 2018: Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Pusat Perkembangan Kanak-kanak HCTM menandatangani Memorendum Perjanjian bersama Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikat milik penuhnya, N2W Corporation Sdn Bhd (N2W Corp) untuk membangunkan Aplikasi Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-kanak.

Pembangunan Aplikasi Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-kanak ini mengandingkan kepakaran N2W Corp dalam aspek pembangunan teknologi aplikasi, pelaksanaan dan pemasaran manakala UKM menyumbangkan nasihat, pengetahuan dan maklumat klinikal serta teknikal berhubung keperluan optimum spektrum perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak. Inspirasi pembangunan aplikasi ini bertitik tolak berikutan kesedaran berhubung pentingnya perkembangan awal kanak-kanak dipantau secara berkala dan bersistematik bermula di peringkat bayi. Aplikasi tersebut akan mengandungi komponen-komponen kritikal perkembangan kanak-kanak seperti pengurusan kesihatan, pengambilan makanan, pembelajaran asas, koordinasi motor, komunikasi dan interaksi sosial. Ibu bapa boleh memantau tahap kesihatan dan perkembangan awal kanak-kanak, khususnya di kalangan ibu bapa muda yang sibuk dan bekerjaya. Inovasi ini menepati trend lanskap ekonomi dan sosio-ekonomi yang mencabar masa kini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr.Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM dan Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy mewakili UKM serta Dato’ Kamaruzzaman bin Abu Kassim dan Encik Mohd. Rizatuddin Noor Mohamamed Ramli mewakili N2W, dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di dewan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).

Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr.Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya berkata transformasi yang bakal diadakan melalui kerjasama ini diharap dapat memperkasakan peranan ibu bapa dengan bantuan perisian maya untuk memantau kesihatan anak-anak. Projek ini juga dijangka dapat memberi pengetahuan kepada ibu bapa tentang kesihatan dan perkembangan awal kanak-kanak untuk meningkatkan skil keibubapaan. Pengesanan masalah kesihatan kanak-kanak oleh ibu bapa perlu dilaksanakan dengan lebih awal supaya pencegahan dapat dijalankan dengan berkesan.

Turut hadir Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Perubatan, Dr. Juriza Ismail, Ketua Pusat Perkembangan Kanak-kanak dan pegawai kanan lain.

LAWATAN: Menteri Pendidikan Malaysia Melawat Sekolah Dalam Hospital (SDH)

19 Nov 2018

CHERAS, 15 November 2018 – Dr. Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, telah mengadakan lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk melihat sendiri Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Aras 4, Wad Pediatrik HCTM dengan lebih dekat dan disambut oleh Pengurusan Tertinggi UKM diketuai Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa serta, Pengurusan Kampus Kuala Lumpur diketuai oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal dan Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM juga turut disertai Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan.

Rombongan KPM menghabiskan masa hampir 15 minit melihat sesi pembelajaran di SDH. Sekolah Dalam Hospital (SDH) ditubuhkan pada 18 September 2012 dengan objektif untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua kanak-kanak tanpa batasan dan keadaan, menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif bagi murid yang sedang dirawat di hospital, serta memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir dalam pelajaran.

Seterusnya delegasi dibawa melawat ke Pusat Kembangan Kanak-kanak di Aras G, dan melawat sekitar Kampus Kuala Lumpur UKM dengan menaiki kenderaan. Antara lokasi lawatan ialah Advanced Surgical Skills Centre, UNU-IIGH, Taska HCTM, Ronald McDonald  Charity House, Pusat Gamma Knife dan destinasi lawatan berakhir di Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI). Delegasi diberi penerangan ringkas mengenai status terkini pembangunan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM yang dijangka beroperasi pada tahun 2019 dan juga wawasan UKM dalam penubuhan Health Technopolis di Cheras.

Turut hadir YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, dan pegawai-pegawai kanan KPM dan pegawai kanan UKM yang lain termasuk Prof. Dr. Hj. Mohd. Ekhwan Toriman, Prof. Dato’ Dr. Nor Ghani Nd. Nor, Prof. Dr. Ishak Yusof. Pegawai kanan lain termasuk Timbalan-timbalan Pengarah Pejabat Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Ketua Jabatan Pediatrik serta Ketua Pusat Perkembangan Kanan-kanak.

 

PROGRAM: Seminar Jagarawatan Bariatrik 2018

19 Nov 2018

CHERAS, 13 November 2018 – Seramai 101 orang peserta menyertai Program Seminar Jagarawatan Bariatrik 2018 anjuran Disiplin Surgeri, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan dan Unit Minimally Invasive Sugery (MIS), Upper GI & Obesity Surgery, Jabatan Surgeri, HCTM UKM julung kalinya diadakan untuk memberi maklumat dan menambah baik perkhidmatan kepada pesakit terutamanya dalam mendapatkan rawatan Bariatrik.

Pembedahan bariatrik adalah prosedur pembedahan menurunkan berat badan yang dilakukan kepada pesakit obesiti dengan tujuan untuk menjaga kesihatan. Prosedur ini dilakukan oleh pakar-pakar dari Unit Minimally Invasive Sugery (MIS), Upper GI & Obesity Surgery, Jabatan Surgeri. Penganjuran Seminar Jagarawat Bariatrik yang diadakan selama 2 hari ini menekankan aspek-aspek jararawat pembedahan bariatrik dengan lebih mendalam dan terkini.

Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM dan dalam ucapannya berkata program seperti perlu diadakan pada setiap tahun bagi membincangkan dan berkongsi kaedah rawatan serta jagarawatan seiring dengan teknologi terkini kepada semua agar ia dapat dipraktikkan dan digunapakai memandangkan kadar bilangan pesakit obesiti di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Beliau juga menyatakan sokongan penuh terhadap semua usaha-usaha yang mampu memberi impak positif terhadap pembangunan intelektual di samping menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada pesakit.

Turut hadir dalam majlis Prof. Madya Dato’ Dr. Nik Ritza Kosai Nik Mahmood, Ketua Unit Minimaly Invasive Surgery (MIS) Upper Gi And Obesity Surgery Jabatan Surgeri HCTM, Puan Fuziah Abd. Hamid Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM, Puan Wan Fatimah Wan Daud Penasihat Seminar Jagarawatan Bariatrik 2018, Dr. Mohamad Aznan Shuhaili Penasihat Bersama Seminar Jagarawatan Bariatrik 2018, dan Puan J. Sanarina Abdul Jabbar Pengerusi Seminar Jagarawatan Bariatrik 2018.

1 2 3 7

Search

+
Font Resize
Contrast