PROGRAM SENTUHAN KASIH JALANAN
PROGRAM SENTUHAN KASIH JALANAN
Pada 26 September 2025, Dr. Munirah Md. Mansor, Ketua Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik telah bersetuju dengan kertas kerja Cadangan ‘Program Sentuhan Kasih Jalanan’ untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hospital (MJPH) untuk mendapatkan kelulusan melaksanakan program, kelulusan untuk e-khidmat bagi jawatakuasa, sukarelawan dan penyumbang yang terlibat dalam perlaksanaan program.
Program anjuran Bahagian Pengambilan Darah ini dilaksanakan bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf jalanan dan gelandangan dengan menyediakan agihan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan, khususnya di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan (PJJ).


Pada 10 Oktober 2025 program telah bermula dengan aktiviti membungkus nasi ayam goreng kunyit yang ditempah daripada katering pada jam 12 tengahari di Bahagian Pengambilan Darah. Kami telah bergerak ke lokasi iaitu di hadapan Restoran Sup Kawah Hitam, Lorong Haji Taib 1, Chow Kit, Kuala Lumpur pada jam 6 petang.

Sekitar jam 8:00 malam, Pertubuhan Jejak Jalanan telah mengumpulkan kumpulan asnaf jalanan dan gelandangan di lokasi untuk aktiviti pengagihan makanan. Program telah berjalan dengan lancar di mana sebanyak 250 paket makanan telah diagihkan kepada golongan sasar. Agihan makanan telah dilaksanakan oleh kakitangan Bahagian Pengambilan Darah dan 4 orang sukarelawan dari Unit Patologi Kimia, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada penaung program, Dr. Munirah Md. Mansor, Encik Hairol Azman Mohamad Yusop, Penasihat program, 4 orang sukarelawan dari Unit Patologi Kimia dan seluruh ahli jawatankuasa program yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini. Tidak lupa jutaan terima kasih juga kepada Pengurusan Tertinggi HCTM yang telah meluluskan dan menyokong program anjuran Bahagian Pengambilan Darah ini.
