Khidmat Masyarakat : Bengkel KBAT UPSR 2016 (Sains & Matematik)
Sabtu, 6 Feb 2016 telah berlangsung satu bengkel berteraskan pendidikan oleh Persatuan Ibubapa & Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2 (SKTM2) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, HCTM, PPUKM.
Penganjuran bengkel ini adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman pelajar tentang teknik menjawab soalan yang lebih berkesan dan efektif terutama soalan yang berunsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), meningkatkan motivasi dan persediaan pelajar-pelajar untuk menghadapi peperiksaan UPSR serta membantu para guru meningkatkan kemahiran mengajar secara berkesan.
Seramai lebih kurang 140 orang peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri daripada 80 orang pelajar Tahun 6 dari SKTM2, 50 orang pelajar sekolah lain yang merupakan anak-anak kakitangan PPUKM dan 10 orang guru. Penceramah jemputan yang terlibat merupakan guru yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing iaitu En. Zazolnizam Zakaria (Guru Cemerlang Sains) dan En. Shahril Othman (Guru Inovatif Kebangsaan).
JPMD diwakili oleh seramai 15 orang sukarelawan telah turut sama membantu pengurusan bengkel ini iaitu dari segi teknikal, tempahan ruang dan makanan, urusan pendaftaran serta aspek keselamatan para pelajar.
Pihak JPMD mengharapkan agar program kemasyarakatan dan kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa demi kecemerlangan generasi akan datang.
Laporan : Pn Siti Hawa
Foto oleh : Jawatankuasa KBAT


