Artikel : Kaedah Cepat Mengesan Jangkitan Penyakit Gastrik Dan Ulser (Luka) Perut

11 Jan 2018

Penyakit gastrik dan ulser (luka) perut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor-faktor ini termasuklah tekanan (stress), tindak balas bahan kimia daripada ubat atau makanan dan jangkitan bakteria. Bakteria yang menyebabkan penyakit gastrik dan ulser perut ini dinamakan sebagai Helicobacter pylori (H. pylori) dan pengesanannya dapat membantu dalam proses penyembuhan penyakit-penyakit ini.

Secara tradisinya, diagnosis jangkitan H. pylori dilakukan melalui beberapa kaedah. Kaedah-kaedah tersebut adalah
seperti:
i. ujian serologi untuk mengesan antibodi terhadap bakteria ini di dalam darah pesakit,
ii. ujian histologi untuk mengesan kehadiran bakteria dalam tisu perut
iii. ujian nafas urea.

Ujian-ujian ini hanya dapat menentukan kehadiran jangkitan tetapi tidak dapat menentukan jenis antibiotik yang boleh membunuh atau menyingkirkan bakteria ini. Penentuan kerentanan (suseptibel) H. pylori terhadap antibiotik adalah penting kerana sekiranya pesakit dirawat dengan antibiotik yang mana bakteria ini adalah rintang (resistan) terhadapnya, pesakit akan mengalami kegagalan rawatan. Ini akan meningkatkan risiko jangkitan berpanjangan (kronik) dan pesakit akan terdedah kepada penyakit yang lebih teruk seperti kanser perut.

Ujian kultur (penumbuhan) bakteria H. pylori di dalam makmal dan penentuan kerentanan terhadap antibiotik telah dilakukan dapat membantu doktor dalam mempreskripsi antibiotik untuk rawatan. Doktor telah menggunakan dapatan ujian ini untuk memilih antibiotik yang sesuai untuk menyingkirkan atau membunuh H. pylori terutamanya pada pesakit-pesakit yang telah beberapa kali mengalami kegagalan rawatan. Walau bagaimanapun, hasil kaedah tradisional mengambil masa yang agak lama di antara 10-15 hari. Ini akan menangguhkan preskripsi rawatan antibiotik yang betul/tepat kepada pesakit.

Kajian pengesanan jangkitan H. pylori dengan kaedah yang lebih cepat telah dijalankan. Kaedah baharu ini menggunakan teknik molekular yang mengesan kehadiran H. pylori dalam tisu perut dan pada masa yang sama menentukan kerentanan bakteria ini terhadap antibiotik. Kaedah baharu ini hanya mengambil masa 3 hari untuk mengesan jangkitan H. pylori dan menentukan suseptibiliti H. pylori terhadap antibiotik. Dengan ini, doktor dapat mempreskripsi antibiotik yang betul kepada pesakit dan meningkatkan kejayaan rawatan dan seterusnya mengurangkan risiko pesakit mendapat penyakit yang lebih teruk seperti kanser perut.

Artikel ini diterbitkan di dalam Buletin IMPAK PENYELIDIKAN TRANSLASI @ UKM Oktober 2017

Penulisan oleh : Dr Alfizah Hanafiah
Ketua Unit Penyediaan Media Mikrobiologi JPMD

Untuk maklumat lanjut sila e-mel: alfizah@ppukm.ukm.edu.my

Search

+