Khidmat Masyarakat : Pusat Ilmu Muslim Aid (PIMA) – UNHCR

Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik (JPMD) telah mengadakan program khidmat masyarakat di Pusat Ilmu Muslim AID (PIMA) – UNHCR, Tasek Tambahan, Ampang, Kuala Lumpur. Program yang diberi nama ‘Projek B-CARE Garden’ yang sepatutnya dijalankan pada 7 Oktober 2017 tetapi telah ditunda pada 14 Oktober 2017 bagi memberi laluan kepada para pelajar untuk menumpukan perhatian dalam minggu peperiksaan telah dikelolakan oleh Unit Bakteriologi.

Idea untuk projek ini telah dicetuskan atas keinsafan dan kesedaran bahawa anak-anak kecil Rohingya yang merupakan mangsa kepada kesan politik serta fahaman keagamaan di negara mereka juga merupakan manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang perlu dibela dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Pihak PIMA sendiri telah meminta pihak pengajur program untuk menambahbaik taman di kawasan sekolah berkenaan. Permintaan ini disambut baik oleh penganjur memandangkan setiap anak berhak mendapat persekitaran yang baik untuk menuntut ilmu.

Program yang telah disertai seramai 56 orang peserta ini termasuk para pelajar di PIMA dimulakan dengan taklimat daripada ketua projek iaitu En. Shamsul Rezuan Sulaiman. Sebelum memulakan kerja-kerja penambahbaikan taman, para peserta telah disajikan dengan jamuan ringan. Aktiviti program bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari. Antara aktiviti program adalah membersihkan kawasan taman, menyusun pasu, menanam rumput dan pokok bunga serta menghias sudut B-CARE Garden.

Program berakhir dengan ucapan daripada wakil projek dan wakil dari PIMA iaitu Cikgu Norlida Azizan sebelum majlis penyerahan cenderahati yang telah disampaikan oleh Pn. Nor Afnizan Mohd Yusof selaku Pegawai Sains Unit Bakteriologi dan seterusnya sesi bergambar beramai-ramai. Keterujaan dan keseronokan jelas kelihatan di raut wajah anak-anak PIMA walaupun penat membantu dalam aktiviti program selepas melihat hasil akhir sebuah taman yang jauh lebih cantik dari sebelumnya. Diharap program ini memberi secebis kegembiraan kepada anak-anak Rohingya ini dan membuka mata seluruh warga JPMD dan masyarakat sekitar akan nasib pelarian politik ini.
Laporan oleh : Raja Mohamad Hafiz Raja Zahari
Foto : Unit Bakteriologi