Sejarah Penubuhan

Dibuka pada 24hb Julai 1997 dengan perkhidmatan kecemasan permulaan dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang sahaja dan tidak lama kemudian mula beroperasi 24 jam 7 hari seminggu sehingga ke hari ini.

Proses penambahbaikan dan pembesaran jabatan dilakukan pada awal 2003 dan siap 12 bulan kemudian. Akhirnya,  Jabatan Perubatan Kecemasan yang baru telah mula beroperasi pada 10hb Disember 2003 dan ianya telah dirasmikan oleh Pengarah HCTM pada ketika itu, Professor Dato’ Dr Muhammad Abdul Razak.


Peranan dan Tanggungjawab

Jabatan Perubatan Kecemasan telah beroperasi sejak penubuhan HCTM. Pada awalnya ia merupakan sebuah jabatan yang berada di bawah pengurusan hospital, dengan ini telah menjalankan tugasnya menyampaikan perkhidmatan kecemasan kepada masyarakat persekitaran dengan baik, setaraf dengan perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan kecemasan di Kementerian Kesihatan.

Pada tahun 2005, jabatan telah mula menjalankan Program Sarjana Perubatan Kecemasan.  Dua tahun selepas itu iaitu tahun 2007 , jabatan ini telah diiktiraf ke dalam pengurusan Fakulti Perubatan dan secara automatik menjadi salah satu jabatan akademik, yang berfungsi untuk menjana penyelidikan dan bertanggungjawab dalam pengajaran, selain fungsi hakikinya yang terdahulu. Perubahan ini disambut sebagai satu peluang untuk menganjak status jabatan, membawa perubahan ke arah kecemerlangan jabatan dalam menyahut cabaran pengurusan universiti di dalam program mengantarabangsakan UKM di persada dunia.

Perkhidmatan ini telah dimantapkan dengan penambahbaikan infrastruktur dan sumber manusia. Jabatan sentiasa komited ke arah pengurusan kualiti menyeluruh, memandangkan jabatan ini adalah salah satu wahana HCTM berhubung terus dengan masyarakat.

Setiap perkhidmatan klinikal di sesebuah hospital itu sebenarnya memerlukan sokongan daripada disiplin perubatan kecemasan kerana fungsinya sebagai pintu masuk utama pesakit ke hospital. Secara hakikatnya, sesebuah Jabatan Perubatan Kecemasan merupakan tempat utama di mana seseorang individu yang mempunyai permasalahan kesihatan akut mendapatkan rawatan, sekaligus membuktikan bahawa bahagian perubatan kecemasan merupakan komponen penting yang amat diperlukan. Kini, pengamal perubatan kecemasan dianggap berkebolehan menangani segala keadaan pesakit daripada serangan sakit jantung, strok, trauma sehingga ke krisis masalah mental akut dan sebagainya.

Selain itu, Jabatan Perubatan Kecemasan juga diberikan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan ambulans komprehensif bagi komuniti yang berada di bawah pengawasannya. Beban ini ditambah dengan peranan Jabatan Perubatan Kecemasan sebagai benteng utama dan pemimpin di dalam persediaan dan tindakan menangani bencana. Skop kepakaran perubatan kecemasan juga merangkumi sedikit sebanyak perubatan sukan, kesihatan pekerjaan, kesihatan masyarakat, perawatan kritikal pesakit kanser, forensik dan lain-lain lagi.

Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM memenuhi kriteria sebuah unit kecemasan moden bertaraf antarabangsa dengan kecemerlangannya di dalam memberikan perkhidmatan penilaian pesakit akut yang cekap dan cepat, memudahcara penggunaan teknik pengimejan diagnostik akut, menyediakan ruang pemerhatian jangka pendek pesakit, menyampaikan perawatan intensif kritikal bagi pesakit tenat, dan mengurus tindakan bencana dalam dan luar dengan berkesan. Ini dikuatkan lagi dengan kebolehan jabatan melaksanakan usaha adaptasi kepada keadaan keperluan yang berubah jauh lebih pantas.