PROGRAM SAMBUTAN HARI WARGA EMAS JABATAN KHIDMAT PELANGGAN
Tarikh : 01 Oktober 2025 (Rabu)
Masa : 8.00 Pagi – 1.00 Petang
Tempat : Lobi Utama, Blok Klinikal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)
Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya melaksanakan Program Sambutan Hari Warga Emas buat julung kalinya bertempat di Lobi Utama, HCTM dari jam 8.00 Pagi hingga 1.00 Petang.
Program ini bertujuan bagi meraikan Warga Emas yang memilih HCTM bagi mendapatkan rawatan. Sejajar dengan tema bagi tahun 2025 “Memperkasa Suara Warga Emas Ke Arah Masa Depan Inklusif”. Warga emas turut diraikan dengan pemberian bunga Daisi sebagai simbol penghargaan dan penghormatan serta penyediaan khidmat penghantaran pesakit warga emas ke semua lokasi temujanji menggunakan kerusi roda yang dihias khas bagi memastikan keselesaan kepada warga emas.
Selain itu, HCTM juga menjalankan soal selidik secara bersemuka untuk mengukur kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kaunter JKP, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti dan memenuhi keperluan warga emas dan komuniti secara menyeluruh. Turut hadir memberikan sokongan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), HCTM dan YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan.
Sekalung penghargaan dari Pejabat Pengarah atas usaha and semangat warga HCTM bagi sama-sama menjayakan program ini dengan menyokong memakai bertemakan warna ungu seiring dengan pemilihan warna yang ditetapkan. Syabas dan tahniah bagi seluruh ahli JKP atas kejayaan menjayakan program ini.



