HARI KUALITI 2025 “Quality: Think Differently”

27 Jan 2026

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menganjurkan Hari Kualiti 2025 pada 12 dan 13 November 2025 dengan penuh jayanya. Sambutan bertemakan “Quality: Think Differently” ini selaras sepenuhnya dengan tema Hari Kualiti Sedunia bertujuan memupuk budaya pemikiran berbeza serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan perkhidmatan kesihatan.

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP) HCTM turut mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang program tersebut, antaranya mengendalikan **Reruai Hari Mesra Pelanggan** serta menyumbang kepada hiasan dan dekorasi Hari Kualiti. Reruai berkenaan menumpukan tiga aspek utama:

  1. Pendaftaran dan muat turun aplikasi ePesakit HCTM

Aktiviti ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila seramai 8,913 individu berjaya mendaftar dan mula menggunakan aplikasi tersebut. Penggunaan aplikasi ePesakit HCTM amat digalakkan oleh pihak hospital kerana ia menjadi saluran utama bagi pesakit menguruskan janji temu, mengakses rekod perubatan serta menerima maklumat terkini secara selamat dan mudah. Transisi penuh kepada digitalisasi maklumat rawatan pesakit dijadualkan bermula pada Jun 2026 dan secara tidak langsung menjadikan aplikasi ini elemen penting dalam ekosistem penjagaan kesihatan di HCTM.

  1. Kajian Kepuasan Pelanggan

Melalui kajian ini, JKP menerima pelbagai maklum balas positif serta cadangan penambahbaikan yang membantu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan secara komprehensif.

  1. Kemaskini Maklumat Pesakit

Usaha berterusan memastikan data pesakit sentiasa tepat dan terkini bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Pada hari kedua sambutan, iaitu 13 November 2025 (Khamis), Majlis Anugerah Bitara dan Inspirasi Kualiti Hospital Canselor Tuanku Muhriz diadakan dengan meriah di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. JKP telah menghantar pencalonan untuk beberapa kategori yang dipertandingkan. Hasil daripada pencalonan tersebut, Jabatan Khidmat Pelanggan berjaya memenangi dua anugerah dengan bergaya. Anugerah -anugerah yang dimenangi adalah

  1. Anugerah Bitara Kelestarian 2025 (Kategori Pusat Tanggungjawab – Pentadbiran)
  2. Anugerah Bitara Keterlibatan Masyarakat HCTM 2025 (Kategori Berkumpulan/Individu – Pentadbiran)

Encik Mohd Afandi Ismail telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bitara Keterlibatan Masyarakat HCTM 2025 (Kategori Berkumpulan/Individu – Pentadbiran).

Pihak pengurusan JKP HCTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada waerga JKP. Kejayaan ini bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih Jabatan Khidmat Pelanggan, malah menjadi pemangkin kepada komitmen berterusan dalam memperkukuhkan budaya kecemerlangan, kelestarian serta keterlibatan masyarakat di HCTM.

Sambutan Hari Kualiti 2025 ini mencerminkan dedikasi seluruh warga HCTM dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi, berinovasi dan berorientasikan pesakit, selaras dengan hasrat yang dimaksudkan dalam visi HCTM.

PROGRAM SAMBUTAN HARI WARGA EMAS JABATAN KHIDMAT PELANGGAN

14 Oct 2025

Tarikh : 01 Oktober 2025 (Rabu)
Masa : 8.00 Pagi – 1.00 Petang
Tempat : Lobi Utama, Blok Klinikal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya melaksanakan Program Sambutan Hari Warga Emas buat julung kalinya bertempat di Lobi Utama, HCTM dari jam 8.00 Pagi hingga 1.00 Petang.

Program ini bertujuan bagi meraikan Warga Emas yang memilih HCTM bagi mendapatkan rawatan. Sejajar dengan tema bagi tahun 2025 “Memperkasa Suara Warga Emas Ke Arah Masa Depan Inklusif”. Warga emas turut diraikan dengan pemberian bunga Daisi sebagai simbol penghargaan dan penghormatan serta penyediaan khidmat penghantaran pesakit warga emas ke semua lokasi temujanji menggunakan kerusi roda yang dihias khas bagi memastikan keselesaan kepada warga emas.

Selain itu, HCTM juga menjalankan soal selidik secara bersemuka untuk mengukur kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kaunter JKP, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti dan memenuhi keperluan warga emas dan komuniti secara menyeluruh. Turut hadir memberikan sokongan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), HCTM dan YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan.

Sekalung penghargaan dari Pejabat Pengarah atas usaha and semangat warga HCTM bagi sama-sama menjayakan program ini dengan menyokong memakai bertemakan warna ungu seiring dengan pemilihan warna yang ditetapkan. Syabas dan tahniah bagi seluruh ahli JKP atas kejayaan menjayakan program ini.

JKP – THE OPERATION C.A.R.E (CUSTOMER, AGILE, RESILLENCE EXPIDITION) 2025

14 Oct 2025

Bengkel Kerja 2025 JKP– THE OPERATION C.A.R.E (CUSTOMER, AGILE, RESILLENCE EXPIDITION) dengan slogan kata One Team One Dream telah dijalankan selama 3 hari 2 malam bermula dari 5 hingga 7 September 2025, bertempat di Asia Camp Resort, Taman Negara, Pahang. Seramai 31 orang kakitangan JKP telah menyertai bengkel kerja kali ini. Program ini dibawah seliaan Ketua JKP iaitu Encik Ahmad Zamri Noordin dan Diketuai oleh Encik Irham Abdullah serta Encik Mohd Affandi Ismail bersama barisan ahli jawatankuasa yang dilantik.

Sepanjang 3 hari 2 malam, program ini diisi dengan pengisian yang membina bagi meningkatkan ketahanan mental dan fizikal kakitangan barisan hadapan yang kerap berhadapan tekanan serta menerapkan nilai-nilai kepimpinan, komunikasi yang efektif dan penyelesaian masalah dalam sesuatu situasi bagi meningkatkan lagi perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan JKP ketika menjalankan tugasan di tempat kerja. Selain itu pengukuhan kerjasama berpasukan turut dilakukan melalui aktiviti-aktiviti luar. Antara aktiviti yang dilakukan adalah Night Jungle Walk Hutan Simpan Taman Negara, Jungle Trekking Ke Bukit Teresek & Canopy Walk, Lawatan Ke Kampung Orang Asli Suku Kaum Bateq dan Rapid Shooting.

Night Jungle Walk Hutan Simpan Taman Negara ini merupakan satu simulasi tekanan kepada para peserta yang mana aktiviti luar ini dijalankan pada waktu malam yang bertujuan mempersiapkan diri kepada peserta dalam menghadapi sesuatu tekanan dan situasi luar jangka yang berkemungkinan berlaku di tempat kerja ketika melakukan tugasan, disamping merasai suasana alam semula jadi pada waktu malam di dalam hutan.

Seterusnya, aktiviti Jungle Trekking Ke Bukit Teresek & Canopy Walk yang dijalankan adalah laluan sejauh kira-kira 1.7 km sehala dan mengambil masa antara 1.5 hingga 2 jam untuk perjalanan pergi dan balik. Sebahagian besar laluan dilengkapi dengan boardwalk kayu, menjadikannya lebih mudah diakses, namun bersedialah untuk menaiki tangga yang agak curam terutamanya di bahagian akhir menuju ke puncak. Ketika aktiviti ini dijalankan semangat berpasukan daripada semua peserta begitu terserlah dengan memberikan kata-kata semangat, bersama-sama membantu memberikan pertolongan, justru menjadi pembakar semangat dan dorongan untuk sama-sama berjaya meneruskan perjalanan menawan puncak Bukit Teresek.

Aktiviti kemudiannya disambung pula dengan lawatan ke kampung orang asli suku Kaum Bateq. Disini, kami diberi penerangan mengenai sejarah dan budaya orang asli suku Kaum Bateq serta mempelajari ‘survival skill’ di hutan termasuk demonstrasi cara menggunakan sumpit dan menyalakan api. Akhir sekali penutup acara aktiviti luar kami adalah Rapid Shooting iaitu merupakan aktiviti air dengan menaiki bot sampan.

Akhir kata, syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat kerana bersama-sama mencapai objektif untuk program bengkel kerja kali ini yang sejajar dengan misi dan visi JKP sendiri.

‘ONE TEAM ONE DREAM’

DEKORASI LOBI UTAMA HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ

14 Oct 2025

Jabatan Khidmat Pelanggan dengan kerjasama Jabatan Maklumat Kesihatan , Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Multimedia & Penyiaran serta Jabatan Pembangunan Prasarana, Kkl telah mendekorasi lobi utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz, sempena sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2025.

Mengambil masa selama 12 hari untuk disiapkan dekorasi yang bertemakan ‘ kemeriahan sambutan kemerdekaan sebenar’  ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriostisme di kalangan warga kerja hctm dan pengunjung. Justru menjadi salah satu tarikan buat warga kerja dan pengunjung untuk bergambar.

Syabas dan tahniah kepada warga kerja jabatan khidmat pelanggan yang sama –sama turut serta dalam proses dekorasi kreatif lobi utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI ANJURAN JABATAN KHIDMAT PELANGGAN, HCTM

16 Aug 2025

Tarikh : 16 Ogos 2025

Masa : 9.00 Pagi – 4.30 Petang 

Tempat : Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi & Waleed, Taman Sungai Jelok, Kajang.

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya melaksanakan Program KPT Prihatin Madani bertempat di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi & Waleed (PKAAYUS) , Taman Sungai Jelok, Kajang. Antara aktiviti dijayakan ialah Pemberian Sumbangan terkumpul oleh Warga HCTM, Pemeriksaan Gigi, Sambutan Hari Lahir dan sesi aktiviti luar di Putrajaya. 

Program ini dibawah seliaan Ketua JKP iaitu Encik Ahmad Zamri Noordin dan diketuai oleh Encik Irham Abdullah serta Encik Mohd Affandi Ismail. Program ini mendapat sambutan yang amat baik dan jumlah sumbangan yang dikutip amat memberangsangkan sekaligus dapat membeli keperluan yang diperlukan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi & Waleed. Penyerahan sumbangan itu diserahkan kepada penaung rumah PKAAYUS iaitu Puan Halimah binti Aman tau lebih mesra disapa Ummi dan disaksikan oleh semua anak anak PKAAYUS.

Seterusnya, JKP jugak telah berkolabrasi bersama Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial HCTM bagi menjayakan aktiviti pemeriksaan gigi. Seramai 12 orang anak-anak pertubuhan menyertai pemeriksaan gigi ini. Sekiranya ada masalah pihak pengurusan boleh membuat rawatan susulan di Klinik Gigi berhampiran. 

Selesai aktiviti pemeriksaan gigi, majlis diteruskan lagi dengan aktivit sambutan hari lahir untuk anak-anak PKAAYUS. Kami turut berkolabrasi dengan Rumah Mcdonald’s HCTM di bawah seliaan Puan Idayu Mukti. Mereka turut serta memberi sumbangan kepada anak-anak PKAAYUS sekaligus menjayakan program sambutan hari lahir dengan cukup meriah. Anak-anak PKAAYUS dijamukan dengan makanan ringan dari Mcdonald dan makan tengahhari yamg disediakan oleh pihak Penganjur.

Program diteruskan lagi bagi sesi lawatan ke Wetland Studios Putrajaya. Lawatan ini ditaja penuh oleh JKP. Program ini amat menarik minat anak-anak PKAAYUS kerana aktiviti ini seiring dengan usia mereka. Mereka menggunakan peluang ini sebaik mungkin dengan mentertai beberapa acara yang disediakan oleh pihak studio. Program lawatan ini tamat pada 4.30 petang. 

Akhir kata, semoga program sebegini akan menjadi aktivit wajib bagi JKP. Selain objektif yang dicapai, kakitangan JKP dapat melakukan program yang sejajar dengan misi dan visi JKP sendiri. Diharapkan program ini akan memberi impak positif kepada warga HCTM yang lain yang langsung atau secara tak langsung menjayakan program ini. 

UCAPAN TAHNIAH : PERKHIDMATAN ANUGERAH PEKERJA CEMERLANG.

22 Jul 2025

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menzahirkan rasa bangga mengucapkan tahniah kepada lapan orang warga jabatan yang terpilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024, iaitu:

  1. Encik Irwan Hafizie Idris
  2. Cik Siti Khadijah Sitam
  3. Puan Nurul Hanim Md. Farid
  4. Puan Azian Azwa Zainudin
  5. Puan Norzubaidah Ramli
  6. Puan Amirah Falihin Azaman
  7. Puan Nor Aini Khalil
  8. Puan Nur Farehin Mohd Ghazali

Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi ke atas khidmat cemerlang, komitmen yang tidak berbelah bahagi serta dedikasi yang konsisten dalam melaksanakan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan. Pemilihan penerima anugerah ini mencerminkan kecemerlangan peribadi dan profesionalisme mereka dalam menyumbang ke arah mencapai misi dan visi Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP) serta Hospital Canselor Tuanku Muhriz secara holistik.

Pihak jabatan dengan penuh takzim merakamkan penghargaan atas pencapaian ini.  Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memberi sumbangan terbaik bagi kecemerlangan organisasi.

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan ke atas kejayaan yang membanggakan ini.

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT JABATAN KHIDMAT PELANGGAN – PEMBERSIHAN KERUSI RODA

20 Jul 2025

Tarikh          : 11 Julai 2025 (Jumaat)
Masa           : 3.00 Petang – 4.30 Petang
Tempat        : Tempat Letak Kereta Zon E, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya melaksanakan Program Khidmat Masyarakat Siri 2 bagi tahun 2025 pada 11 Julai 2025. Program ini telah diadakan di Tempat Letak Kereta E, HCTM dan berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 4.30 petang.

Program Khidmat Masyarakat ini bertujuan memastikan kerusi roda yang digunakan oleh pesakit HCTM sentiasa dalam keadaan bersih. Selain itu, memastikan kerusi roda itu berfungsi dengan baik dan selamat diguna oleh pesakit sepanjang berada dalam Kawasan HCTM. Justeru itu, kakitangan Jabatan Khidmat Pelanggan berpeluang untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan disamping memenuhi salah satu kriteria sumbangan khidmat masyarakat sekaligus seiring dengan Misi JKP itu sendiri. Aktiviti ini diadakan secara berkala dan penglibatan terhad untuk 15 orang sahaja.

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT JABATAN KHIDMAT PELANGGAN – GOTONG ROYONG MADANI SMTKL 2025

20 Jul 2025

Tarikh          : 19 Julai 2025 (Sabtu)

Masa           : 8.00 Pagi – 11.30 Pagi

Tempat        : SM Teknik Kuala Lumpur, Cheras.

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah bekerjasama dengan SM Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) untuk mengadakan aktiviti Gotong-Royong Madani yang diadakan di sekolah tersebut. Program itu berlangsung dari jam 8.00 pagi hinga ke 11.30 pagi.

JKP telah menghantar seramai 6 orang wakil untuk bersama-sama dengan SMTKL bagi menjayakan Program Gotong Royong Madani ini. Tujuan program ini diadakan bagi menceriakan persekitaran SMTKL agar suasana nya dapat menerapkan ciri-ciri sekolah yang baik dan sempurna.

Pembahagian tugas diagihkan oleh urusetia SMTKL dan wakil JKP telah mengambil bahagian mengecat. Mereka mengecat grill di bahagian bawah dan tingkat satu bangunan tingkatan 4  sekolah itu.

Program Gotong Royong Madani mendapat sambutan luar biasa di kalangan pelajar, ibu bapa, cikgu dan ahli JKP sendiri. Semoga hasil kerjasama ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara pihak HCTM dan SMTKL. Diharapkan akan ada peluang sebegini pada masa akan datang.

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT SIRI 1 JABATAN KHIDMAT PELANGGAN, HCTM

9 Jul 2025

Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah  berjaya melaksanakan Program Khidmat Masyarakat Siri 1 bagi tahun 2025 pada 4 Julai  2025. Program ini telah diadakan di Bilik Pengurusan Jenazah, Jabatan Forensik, HCTM  dan berlangsung dari jam 3.30 petang hingga 5.00 petang. 

Seramai 15 orang kakitangan JKP telah menyertai program ini dalam aktiviti gotong royong pembersihan kawasan pengurusan jenazah. Di samping itu, seramai 55 orang  kakitangan lain turut menyumbang wang tunai dan barangan keperluan, sebagai tanda  sokongan dan keprihatinan terhadap kemudahan pengurusan jenazah hospital. 

Jumlah sumbangan wang tunai yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM640.00.  Keseluruhan jumlah ini telah digunakan untuk membeli barangan keperluan khusus bagi  pengurusan jenazah di Surau Ibnu Sina, HCTM. 

Majlis simbolik penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Khidmat  Pelanggan, En. Ahmad Zamri Noordin kepada Bendahari Surau Ibnu Sina, En.  Shaharuddin Rosni, yang turut bertindak sebagai pegawai pemantau aktiviti pengurusan  jenazah. Majlis penyerahan telah berlangsung pada jam 3.00 petang, sebelum aktiviti  gotong-royong bermula. 

Program ini merupakan permulaan kepada beberapa siri khidmat masyarakat yang telah  dirancang oleh Jabatan Khidmat Pelanggan sepanjang tahun ini, dengan objektif utama  untuk memupuk semangat kesukarelawanan, menyemai nilai keprihatinan, serta  mempereratkan hubungan silaturahim antara warga kerja HCTM. 

Semangat Tahun Baharu Cina di Hospital Canselor Tuanku Muhriz

28 Jan 2025

Suasana di Lobi Utama Hospital Canselor Tuanku Muhriz berubah meriah dengan keceriaan hiasan bertemakan sambutan Tahun Baharu Cina . Hasil gubahan warga Jabatan Khidmat Pelanggan dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Korporat, hiasan gantungan Tanglung Merah, ‘Ang Pow’ dan Bunga Sakura buatan adalah sebagai simbol tuah dan kegembiraan. Walaupun berada di hospital, semangat sambutan Tahun Baharu Cina tetap terasa. Ia bukan sekadar hiasan, namun jelas menzahirkan perpaduan, keharmonian dan harapan baru buat semua.

Turut hadir memberikan sokongan YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan dan YBrs. Puan Sherda Rusland, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat.

Gong Xi Fa Cai! 🎉🐉

 

1 2 3 6

Search

+