Sidang Media Prosedur Pertama Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG)

10 Apr 2025

Sidang Media Prosedur Pertama Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) telah diadakan pada 19 Mac 2025, jam 10.00 pagi di Bilik Mesyuarat Sukmaria, Aras 3, Bangunan Klinikal HCTM. Tujuan sidang media ini dijalankan adalah untuk memperkenalkan Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) iaitu prosedur endoskopik inovatif yang bertujuan mengurangkan kapasiti perut hampir 70% menggunakan teknik jahitan khas melalui prosedur Upper Endoscopy (OGDS). Prosedur telah terbukti membantu pesakit mengurangkan berat badan berlebihan secara signifikan serta mengawal penyakit metabolik seperti diabetes, hipertensi, hati berlemak, dan kolesterol tinggi.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menjadi hospital pengajar dan hospital kerajaan pertama yang menjalankan prosedur ini pada 11 Mac 2025 yang lalu melalui Bengkel 1st UKM Endo Sleeve (ESG) Workshop: Weight Loss without Scar. Tiga pesakit terlibat dalam prosedur pertama tersebut dan semuanya telah selamat discaj tanpa sebarang komplikasi. Walaupun ESG masih baharu di Malaysia, HCTM berharap dapat memperluaskan kesedaran serta melatih lebih ramai profesional perubatan dalam ESG, seterusnya memberikan pilihan rawatan yang lebih selamat, kurang invasif, dan efektif kepada pesakit obesiti yang berisiko tinggi. Rawatan ini dapat memberikan harapan kepada mereka yang menghadapi masalah obesiti dengan risiko komplikasi kesihatan yang tinggi.

Pengamal media yang berminat untuk mengetahui lanjut mengenai ESG dan berminat membuat liputan temubual bersama pakar, boleh hubungi kami di talian 03-9145 5185 (Cik Noorlaily).

 

 

 

 

 

 

 

Penjualan Sampul Raya HCTM Tahun 2025

10 Apr 2025

Sampul Raya Khas HCTM Tahun 2025 telah habis dijual. Tahun ini sebanyak 2 rekabentuk sampul raya telah dihasilkan iaitu versi kanak-kanak dan versi korporat. Sampul raya 2025 kali ini mengandungi 8 helai sampul, berharga RM6.00. Pihak kami mengucapkan terima kasih atas sokongan penjualan sampul raya HCTM yang amat memberangsangkan.

 

 

 

 

 

Tahniah – Encik Muhamad Khairi Khalis

1 Nov 2024

Tahniah Encik Muhamad Khairi Khalis atas penganugerahan Diploma Professional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) anjuran AKEPT dengan kerjasama Univerisiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 29 Oktober 2024.

Persembahan Tarian Sumazau dan Magunatip

24 Jun 2024
Jabatan Komunikasi Korporat telah menganjurkan aktiviti seni bersempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2024 iaitu Persembahan Tarian Sumazau dan Magunatip oleh Pusat Kebudayaan Universiti, UKM di Lobi Utama, HCTM pada 4 Jun 2024 yang lalu.
Aktiviti yang diadakan ini bertujuan memperkenalkan dan mempersembahan tarian tradisional kaum etnik Sabah dan Sarawak. Tarian sumazau diinspirasikan daripada corak terbang burung helang yang disaksikan oleh petani di ladang semasa musim menuai. Manakala, tarian magunatip lebih dikenali sebagai tarian buluh. Dalam pada itu, warga HCTM dan orang awam turut diberi peluang dan pengalaman untuk mencuba sendiri kedua-dua tarian tersebut.
Persembahan yang berlangsung selama 1 jam ini dimeriahkan dengan kehadiran Pengurusan HCTM iaitu Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dan Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan.

Bengkel Pemurnian Rekabentuk Laman Web, Media Sosial dan Media

24 May 2024

Bengkel Pemurnian Rekabentuk Laman Web, Media Sosial dan Media  diadakan  15 Mei 2024 (Rabu), jam 9.00 pagi, di Level 3A, Community Living Hall, HotelKomune Living and Wellness, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Objektif bengkel ini adalah untuk mendapatkan maklum balas berkaitan rekabentuk laman web HCTM, mendapatkan idea penambahbaikan media sosial. Pada sesi petang, ceramah ‘Berdepan Dengan Pengamal Media, Apa Perlu Anda Tahu?’ yang disampaikan oleh Dr. Shahrul Nazmi Sannusi, Penyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, FSSK. Peserta sesi petang terdiri daripada kakitangan klinikal yang mungkin berdepan dengan pengamal media, selok belok menangani wartawan , Pengurusan Krisis, dan Komunikasi Korporat telah diberikan kepada peserta bengkel.

 

 

Penstrukturan Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan

2 May 2024

Berdasarkan Pekeliling Pejabat Pengarah Bil.6/2024, Pengurusan HCTM bersetuju penyusunan semula bagi memantapkan dan mengukuhkan lagi struktur HCTM dengan penstrukturan Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan berkuatkuasa mulai 2 Mei 2024 menjadi dua entiti iaitu:-

1) Jabatan Komunikaso Korporat; dan
2) Jabatan Khidmat Pelanggan.

Laman sesawang rasmi Jabatan Komunikasi Korporat ialah https://hctm.ukm.my/jkp/

Jemputan ke Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.2/2023

13 Sep 2023

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

YBhg.Prof./Dato’ Sri/Datuk/ Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Sukacita dimaklumkan Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.2/2023 akan diadakan pada 18 September 2023 (Isnin) jam 10.00 pagi bertempat di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, UKM.

Tema Pakaian : *Sarong Batik / Kain Pelikat *

Semua Warga HCTM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (Zon Cheras) dijemput hadir.

Link Kehadiran Kakitangan : –https://forms.gle/Raok5HM51r2ZMwSb7

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Pengurusan Acara, Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, HCTM, talian 03-9145 5057 / 5058.

Infografik Prosedur Permohonan Jemputan Media Untuk Acara Rasmi

1 Sep 2023

Berikut adalah Infografik Prosedur Permohonan Jemputan Media Untuk Acara Rasmi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM untuk perhatian YBhg. Prof./ Dato’ Sri/ Datuk/ Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Cik Noorlaily Abdul Rahim Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, HCTM, di talian 03-9145 5185/ 6313.

Sekian, terima kasih.

Majlis Memori Chow Kit Road

1 Sep 2023

CHERAS, 24 Ogos 2023 – Dianggarkan 200 orang warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras) yang terdiri daripada pelbagai jabatan telah membanjiri Laluan Hadapan Auditorium untuk menyaksikan Majlis Memori Chow Kit Road iaitu salah satu aktiviti Program Semarak Kemerdekaan yang diadakan pada Bulan Kemerdekaan. Inisiatif Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan diadakan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras) yang akan disambut pada 31 Ogos 2023 nanti.

Majlis Memori Chow Kit Road merupakan program menyambut ambang kemerdekaan yang ke-66 dengan menggunakan konsep yang diambil daripada konsert jalanan terbesar Allahyarham Sudirman Arshad telah diadakan secara percuma pada 14 April 1986 di Jalan Chow Kit. Konsert penyanyi pop 80-an tersebut telah mencipta sejarah apabila menghimpunkan lebih 100, 000 daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang, kaum, agama dan pendidikan. Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ‘Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, konsep yang diketengahkan ini telah diterima baik dan mendapat maklum balas positif daripada warga kerja HCTM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras). Antara pengisian program Memori Chow Kit Road ialah perarakan kawad kaki Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur yang diketuai oleh Encik Mohd Shukur Halim, penyerahan Jalur Gemilang oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM kepada Kapten (B) Hamon Rafiz Abd Hamed, Ketua Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur, pengibaran jalur gemilang serta nyanyian lagu Negaraku, nyanyian kior, deklamasi sajak, pakaian terbaik, dan reruai juadah seperti nasi lemak, kuih, air balang, ubi kayu rebus dan lain-lain.

Antara yang hadir ke Majlis Memori Chow Kit Road ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Ketua-ketua Jabatan dan warga Kampus Kuala Lumpur UKM (Cheras).

 

Persembahan Kebudayaan Tradisional Malaysia

23 Aug 2023

Persembahan Kebudayaan Tradisional Malaysia bersempena Program Semarak Kemerdekaan anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan telah diadakan pada 22 Ogos 2023 bertempat di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Acara dimulakan dengan persembahan seni gamelan dari Kumpulan Astraloka Enterprise diikuti dengan bengkel instrumen gamelan. Antara instrumen yang digunakan adalah Bonang, Saron Pekin, Saron Baron, Gendang dan Gong. Program berlangsung selama 2 jam ini mendapat sambutan yang hebat. Program dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) bagi memberi sokongan kepada penganjuran program tersebut. Selain dari seni persembahan gamelan, turut diadakan peraduan ‘Teka dan Menang’ iaitu aktiviti meneka jumlah guli dalam balang. Para pemenang yang berjaya diumumkan sejurus selepas majlis selesai.

Antara yang hadir dalam program ini ialah Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM, Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Bin Md. Zainuddin, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Warga UKM dan Orang Awam.

1 2 3 4 6

Search

+