Jabatan Perhubungan Awam (PRO) telah mula ditubuhkan bersama dengan penubuhan Hospital UKM pada tahun 1997. Pada Februari 2018, selaras dengan perkembangan semasa dan perubahan struktur pentadbiran Kampus Kuala Lumpur, nama Jabatan Perhubungan Awam telah ditukar kepada Bahagian Pengurusan Korporat dan diletakkan di bawah Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan (JAKOM-TEK). JAKOM-TEK merupakan gabungan tiga entiti iaitu Bahagian Pengurusan Korporat (Jabatan Perhubungan Awam), Bahagian Multimedia Korporat (Jabatan Multimedia Penyiaran) dan Sekretariat Teknopolis Kesihatan. Pusat ini di bawah portfolio Timbalan Pengarah, Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan (JAKOM-TEK) Kampus Kuala Lumpur dan umumnya untuk membantu semua PTj di bawah Kampus Kuala Lumpur termasuk Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya Hospital UKM).
Pada 18 Mei 2020, dua tahun kemudian, penstrukturan semula pentadbiran Kampus Kuala Lumpur telah dilakukan dan beberapa bahagian dan jabatan telah diletakkan semula di bawah pentadbiran Hospital Canselor Tuanku Muhriz termasuklah Bahagian Pengurusan Korporat. Bahagian Pengurusan Korporat telah digabungkan dengan Jabatan Khidmat Pelanggan dan dikenali dengan nama baharu iaitu Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan (JKKKP). Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, HCTM yang mengendalikan urusan perhubungan korporat, protokol dan media. Ia juga mengendalikan pendaftaran pesakit, prosedur temujanji, pinjaman kerusi roda, dan perkhidmatan telefonis di HCTM.
Pada 2 Mei 2024, Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan telah distruktur menjadi dua entiti iaitu Jabatan Komunikasi Korporat dan Jabatan Khidmat Pelanggan untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi struktur HCTM.