Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merupakan pusat rujukan yang menawarkan rawatan pergigian berkepakaran tinggi dalam bidang Pembedahan Mulut dan Maksilofasial. Skop perkhidmatan merangkumi pengurusan masalah struktur rahang, kecacatan kongenital, kecederaan wajah, tumor dan kanser, serta pemulihan fungsi dan estetik oral.

Perkhidmatan ini diperkukuh dengan sokongan kepakaran pelbagai disiplin pergigian seperti Ortodontik, Prostodontik, Patologi & Perubatan Mulut, Pergigian Berkeperluan Khas dan Endodontik bagi memastikan rawatan yang menyeluruh dan bersepadu. Seiring dengan komitmen terhadap kecemerlangan penjagaan pesakit, jabatan ini memanfaatkan teknologi terkini seperti navigation-assisted surgery, Patient-Specific Implants (PSI) dan teknologi pencetakan 3-dimensi bagi meningkatkan ketepatan pembedahan, keselamatan pesakit serta kecekapan prosedur. Selain itu, jabatan ini juga aktif menjalin kerjasama strategik di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh amalan klinikal dan akademik, selari dengan kemajuan global dalam bidang Bedah Mulut dan Maksilofasial.