Mohon Dr. perkenalkan diri dan sedikit latar belakang.

Nama saya ialah Dr Tang Yee Loong. Saya merupakan seorang Pakar Patologi dalam bidang hematologi, hemostasis dan transfusi darah. Saya bertugas sebagai Ketua Unit di unit Tabung Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik (JPMD) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

 

Boleh Dr. jelaskan apakah situasi bekalan darah di HCTM sekarang?

Situasi bekalan darah di HCTM sekarang adalah mencukupi untuk keperluan harian.

 

Boleh kongsikan jumlah bekalan darah terkini di HCTM.

Semasa, statistik lengkap terkini adalah pada bulan Disember tahun 2021. Bekalan darah mengikut jenis produk darah adalah seperti berikut:

Packed cells: 1225
Platelet concentrate: 452
Fresh frozen plasma: 281
Cryoprecipitate: 94

 

Jenis bekalan darah apakah yang diperlukan oleh hospital dan mengapa?

Jenis bekalan darah yang diperlukan termasuk packed cells, fresh frozen plasma, cryoprecipitate dan platelet concentrate. Packed cells (sel-sel darah merah) digunakan untuk pesakit yang mengalami simptom anaemia atau pendarahan. Platelet concentrate digunakan pada pesakit yang mengalami pendarahan yang disebabkan oleh kekurangan platelet. Fresh frozen plasma dan crytoprecipitate digunakan pada pesakit yang mengalami pendarahan yang disebabkan oleh kekurangan faktor koagulasi.

 

Berapakah jumlah bekalan darah yang dikatakan mencukupi untuk HCTM?

Paras bekalan darah pada tahap optimum di HCTM untuk jenis-jenis produk darah adalah seperti berikut:-

Packed cells : 30 unit A, 30 unit B, 30 unit O dan 10 unit AB.
Fresh Frozen Plasma : 30 unit untuk setiap kumpulan darah (A, B, AB dan O).
Cryoprecipitate : 30 unit untuk setiap kumpulan darah (A, B, AB dan O)
Platelet concentrate : 12 unit.

 

Mengapakah bekalan darah yang mencukupi ini sangat penting dan pesakit yang bagaimana yang memerlukan bekalan darah ini?

Disiplin klinikal iaitu perubatan, surgeri, ortopedik, pediatrik, obstetrik & ginekologi, kecemasan dan lain-lain di HCTM memerlukan bekalan darah untuk tujuan transfusi kepada pesakit yang mengalami pendarahan teruk atau anemia dengan paras hemoglobin yang rendah. Transfusi darah dilakukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

 

Apakah faktor yang menyebabkan bekalan darah dalam keadaan kritikal?

Faktor-faktor yang menyebabkan bekalan darah dalam keadaan kritikal termasuk:

1) Kekurangan bekalan darah dari Pusat Darah Negara (PDN) semasa musim perayaan dan perintah kawalan pergerakan.
2) Penggunaan produk darah yang mendadak disebabkan permintaan tinggi dari wad, dewan bedah, pusat jagaan harian dan kecemasan.

 

Adakah pandemik Covid-19, menjadi antara penyebab kurangnya bekalan darah?

Ya. Terdapat penurunan bekalan darah dari PDN semasa pandemik Covid kerana kekurangan penderma yang datang untuk menderma darah.

 

Apakah yang terpaksa dilakukan oleh hospital sekiranya bekalan darah yang diperlu tidak mencukupi?

Unit Tabung Darah akan mengawal selia stok darah dengan teliti dan berhemah mengikut justifikasi klinikal. Setiap permintaan/permohonan produk darah perlu melalui perbincangan menyeluruh antara doktor yang merawat pesakit dengan doktor yang bertugas di Unit Tabung Darah berkenaan indikasi klinikal dan bilangan unit produk darah yang diperlukan. Bekalan produk darah akan diberikan kepada pesakit yang menepati keperluan indikasi klinikal. Bagi pesakit yang stabil dan tiada pendarahan, transfusi darah akan ditunda dan rawatan alternatif boleh diberikan seperti zat besi, hormon erythropoietin, dan terapi oksigen sekiranya berkaitan.

 

Apakah usaha yang dilakukan oleh HCTM untuk mengatasi masalah bekalan darah?

Untuk makluman, HCTM tidak mempunyai pusat pengumpulan darah bagi penderma untuk menderma darah. Semua bekalan darah adalah berasal dari PDN. Untuk menangani masalah kekurangan bekalan darah, pihak HCTM bekerjasama dengan PDN bagi menganjurkan kempen derma darah di fasiliti HCTM melibatkan orang awam dan kakitangan HCTM.

 

Sejauh manakah kesedaran orang ramai untuk menderma darah?

Semasa, ramai rakyat Malaysia telah menjadi penderma darah namun  bilangan masih tidak mencukupi. Usaha memupuk kesedaran orang ramai untuk menderma darah perlu ditingkatkan lagi. Ini kerana, pengunaan produk darah yang makin meningkat sejajar dengan peningkatan bilangan pesakit setiap tahun akibat pertambahan populasi dari kelahiran, pertambahan bilangan hospital baru dan perkembangan saiz hospital yang sedia ada di sekitar Lembah Klang.

 

Harapan dan nasihat Dr.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan terima kasih kepada pasukan kakitangan yang bertungkus lumus bekerja di Unit Tabung Darah dan juga kepada pengurusan JPMD serta pengurusan HCTM yang memberi sokongan penuh untuk memastikan perkhidmatan transfusi darah di HCTM adalah sentiasa selamat, berkualiti tinggi dan ditawarkan sepanjang 24 jam selama 365 hari setahun tanpa henti. Saya berharap orang ramai dapat menampilkan diri sebagai penderma darah. Bag darah yang didermakan mampu menyelamatkan banyak nyawa yang berharga.

 

Dr. Tang Yee Loong
Pakar Patologi (Hematologi), JPMD
26 Jan 2022