Inauguration Ceremony of Invocell Service and Recognition of Malaysia Book Of Record (MBOR) and MoU Signing Ceremony Between UKM and SNS MURNI SDN.BHD.
CHERAS, 18 Ogos 2022 – Majlis Perasmian Program Penggunaan Invocell Serta Pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara UKM dengan SNS MURNI SDN.BHD. telah diadakan di Dewan Serbaguna, Blok Tambahan Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Pusat Reproduktif Termaju (PRT) HCTM telah melancarkan perkhidmatan terbaharu iaitu penggunaan Tiub Vagina INVOcell hasil kolaborasi bersama SNS Murni Sdn. Bhd. dalam perawatan bayi tabung uji merupakan perkhidmatan terkini dan alternatif kepada rawatan IVF sedia ada. Ia merupakan perkhidmatan baharu dan pertama di Malaysia. Ketika ini proses pembentukan embrio dilakukan di dalam makmal menggunakan mesin inkubator canggih dan mahal, namun melalui kaedah INVOcell, penggunaan mesin inkubator ini dapat dikurangkan kerana tiub ini akan dimasukkan ke dalam vagina pesakit dan bertindak sebagai inkubator natural yang akan membantu pembentukan embrio secara semulajadi. Justeru itu perasaan menghasilkan bayi ‘sendiri’ dapat dirasai oleh pesakit kerana mereka akan pulang bersama tiub ini. Embrio yang terhasil secara semulajadi ini akan dimasukkan ke dalam rahim mengikut hari yang tertentu.
Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, wakil Menteri Sains Teknologi dan Inovasi. Majlis ini turut akan dihadiri oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), YBhg. Profesor Dato Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, dan YBhg. Dato’ Dr. Narimah Awin, Chairman Rasumi Group.







































