Sunathon 2025 Programme

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Sunathon kali ke-21 pada 20 Disember 2025 (Sabtu) bertempat di Lobi Utama Blok Klinikal, HCTM. Program ini melibatkan seramai 49 orang kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak kakitangan HCTM, Fakulti Perubatan UKM (FPER),Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (Hospital TABTAR) serta kanak-kanak di Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia. Program yang bertemakan sarkas ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Program ini telah dimulakan sejak tahun 2003 kini diteruskan sebagai satu tradisi khidmat masyarakat yang bermakna, program sebegini telah dilaksanakan juga bersama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan komuniti setempat. Antara rakan strategik yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta beberapa institusi kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan. Dalam pada itu, pihak pengurusan HCTM turut merakamkan penghargaan kepada RMHC Malaysia atas sokongan berterusan terhadap program anjuran HCTM, yang bukan sahaja melancarkan perjalanan program malah membawa keceriaan kepada kanak-kanak yang terlibat. Antara Pusat tanggungjawab HCTM yang terlibat dalam menjayakan program kali ini ialah Pejabat Pengarah, Jabatan Kewangan, Jabatan Surgeri, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Komunikasi Korporat, Jabatan Multimedia dan Penyiaran, Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (U4P), Bahagian Prasarana Kampus Kuala Lumpur (KKL), dan Bahagian Keselamatan KKL.

Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Azlan Helmy Abd Samat, Penolong Dekan (Keusahawanan) wakil Dekan FPER, YBhg. Datin Dr. Anita Sulong, Timbalan Pengarah (Diagnostik, Farmasi dan Sokongan Klinikal) wakil Pengarah Hospital TABTAR, YBhg. Lt. Kol. (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Jabatan Surgeri, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Encik Mohd Nasri Mohd Nordin Pengurus Besar Persatuan Kebajikan RMCH Malaysia, pegawai-pegawai kanan, para ibu bapa dan anak-anak yang diraikan.


Galeri Gambar : https://www.facebook.com/share/p/1DSLgbE3cw/

Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Hospital Canselor Tuanku Muhriz

13 Dec 2025 2025, News

Sambutan Hari Integriti Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 10 Disember 2025 (Rabu), jam 9.00 pagi bertempat di Auditorium HCTM. Program ini merupakan penganjuran julung kali oleh HCTM.

Hari Integriti disambut pada 5 November setiap tahun, manakala Hari Anti Rasuah pula pada 5 Disember. Penganjuran program ini merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran mengenai integriti dan anti rasuah dalam kalangan warga HCTM. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Ikrar Integriti Malaysia, Ceramah Integriti bertajuk “Di Sana Menanti Di Sini Menunggu” yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Shamsinor Abdul Azzis, Pensyarah Kanan Universiti Malaya merangkap Penceramah Jemputan, Pertandingan Kuiz, serta Pertandingan Mencipta Pantun sempena sambutan tersebut.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, menegaskan bahawa integriti boleh diterjemahkan sebagai melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat (“Doing the right thing, even when no one is watching”). Beliau turut menekankan bahawa integriti menuntut keberanian untuk berkata benar walaupun berdepan cabaran, bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat, serta komited memperbaiki proses kerja demi kebaikan bersama.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Integriti, YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, pegawai-pegawai kanan UKM serta warga HCTM.


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/165jtDygqM/

Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2025

13 Dec 2025 2025, News

Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah meraikan seramai 24 orang anak-anak TASKA bagi penerimaan sijil penghargaan di Majlis Graduasi TASKA Sesi 2025 pada 3 Disember 2025 (Rabu) bertempat di Auditorium, Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju (ASSC), HCTM. 

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBrs. Puan Rohaya Ismail, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan TASKA dan perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Pengarah HCTM dalam ucapannya berharap agar majlis graduasi ini dapat menyuntik semangat baharu kepada semua graduan kecil, selain menjadi simbol sokongan dan penghargaan kepada mereka. Beliau turut berpesan kepada para ibu bapa agar sentiasa membuat pemantauan berkala terhadap anak-anak yang gemar bermain permainan gajet, kerana ia berpotensi memberikan impak negatif kepada mereka.

Majlis diserikan dengan beberapa persembahan khas kanak-kanak TASKA sebelum sesi penyampaian sijil graduasi disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Turut hadir memeriahkan majlis, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), ketua-ketua jabatan, ibu bapa dan warga HCTM.

 

Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1A5FXZFNro/

Majlis Penutup Program Komuniti Sihat Hidup Sejahtera 3.0 – “Mission Possible: Shape Up!”

4 Dec 2025 2025, News
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan telah mengadakan Majlis Penutup Program Komuniti Sihat Hidup Sejahtera 3.0 – “Mission Possible: Shape Up!” pada 26 November 2025 (Rabu) di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas (IPG KIK), Cheras. Program ini merupakan sebahagian daripada siri inisiatif kesihatan komuniti yang bermula dengan program pertama pada 18 Jun 2025, diikuti program kedua pada 20 Ogos 2025 dan berakhir pada 26 November 2025. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan IPG KIK, dengan majoriti peserta adalah daripada golongan B40 telah melibatkan diri dalam menjayakan program ini.
Tujuan utama program ini adalah untuk menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang sihat tubuh badan, cerdas minda dan sejahtera emosi, selaras dengan aspirasi negara menuju masyarakat madani yang sihat dan produktif serta memperkasa masyarakat agar lebih prihatin terhadap kesihatan diri serta berupaya mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.
Majlis Penutup diserikan dengan ucapan daripada YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), mewakili Pengurusan HCTM. Dalam ucapanya, beliau berkesempatan menzahirkan penghargaan kepada YBrs. Dr. Faridah Yakob, Pengarah IPG KIK atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Ucapan tahniah turut disampaikan kepada Puan Nurul Liza Mohammad, Ketua Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan, Encik Abdul Rahman Abd Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Program dan jawatankuasa pelaksana atas sokongan dan komitmen mereka serta usaha gigih dalam menjayakan inisiatif ini.

Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1CArm1sBMK/

Majlis Perasmian Program “Fun Walk World Stroke Day” 2025

3 Dec 2025 2025, News

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah menganjurkan Program “Fun Walk World Stroke Day” edisi keenam. Majlis perasmian telah berlangsung pada 25 November 2025 (Selasa) di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Program “Fun Walk” ini merupakan inisiatif bersama Unit Neurologi, Jabatan Perubatan dan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan HCTM dengan kerjasama beberapa syarikat farmaseutikal. Penganjuran program ini bertujuan memperluas pengetahuan masyarakat mengenai risiko strok, langkah pencegahan serta kepentingan rawatan awal.

HCTM juga menyediakan pelbagai perkhidmatan rehabilitasi seperti fisioterapi, terapi pertuturan dan bahasa, dietetik serta terapi cara kerja bagi membantu pesakit mencapai pemulihan optimum. Penganjuran program ini diharap dapat terus memperkukuh usaha kesedaran kesihatan di peringkat komuniti.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Asyraf Wan Zaidi, Pengerusi Jawatankuasa Program “Fun Walk World Stroke Day”, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.

Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/15omsw9Q4w/

Search

+